Sultan bincang isu peguam negara Selasa ini

Sultan bincang isu peguam negara Selasa ini

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkata, kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Apandi Ali serta calon penggantinya.

KUALA LUMPUR:
Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas mengenai jawatan peguam negara, Selasa ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu sudah dikeluarkan pada 1 Jun kepada semua raja Melayu.

Syed Danial berkata, ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan peguam negara sedia ada serta calon penggantinya.

“Raja-raja Melayu mengikuti perkembangan ini (jawatan peguam negara) dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai peguam negara bagi persekutuan.
Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan: “…Peguam negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saranan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan peguam cara negara, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir berkata, Apandi diberikan cuti kerana ada beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.