
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang kini merupakan wakil tunggal parti itu di Parlimen berkata, partinya menderita selamat bertahun-tahun kerana dianggap tunduk kepada Umno.
Dalam satu temubual, beliau berkata: “Dahulu tidak ada ruang untuk cakap ‘tidak’ atau anda akan dianggap melawan whip BN” dan kini parti itu perlu mengutamakan masa depan sendiri berbanding BN.
Dalam respons pantas di Facebooknya, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, MCA tidak harus menyalahkan Umno atas kegagalan sendiri.
Katanya, MCA diserang “strok” buat kali ke-2 sejak PRU13 dan kali ini lebih teruk sehingga parti itu lumpuh dan tidak boleh berfikir.
Beliau berkata, MCA gagal pulih walaupun Umno berusaha memberi kedudukan kepada parti itu dalam kerajaan, dan kegagalan MCA itu tidak dibincangkan secara terbuka demi menghormati parti berkenaan.
MCA sering dijadikan bahan ejekan dan kritikan DAP kerana gagal memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina terhadap desakan nasionalis Melayu dalam Umno.
Parti itu ketika mempertahankan diri sering berkata, mereka ada membangkitkan masalah dihadapi rakyat dalam kerajaan dan tidak mampu bercakap secara terbuka bagi mengelakkan mengingkari rakan komponen lain.
MCA dan Umno merupakan rakan sekutu dalam kerajaan sejak merdeka lagi, dan mereka bersama MIC membentuk gabungan Perikatan yang membentuk kerajaan persekutuan pertama. Ketiga-tiga parti itu kemudiannya menjadi parti teras dalam BN yang ditubuhkan pada 1973.
Pada PRU14 lepas, MCA bertanding 39 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri, tetapi hanya memenangi 1 kerusi Parlimen di Ayer Hitam, Johor dan 2 kerusi negeri.