
Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia yang mengalu-alukan keputusan Putrajaya menilai semula peranan Jakim, berkata jabatan itu harus menjadi relevan kepada orang Islam dan bukan Islam.
“Sebagai contoh, ia boleh memulakan dialog kerana tidak banyak pihak melakukan inisiatif itu,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa ramai melihat Jakim terlampau obses membina tembok antara orang Islam dan bukan Islam.
“Ada sempadan ketat dan juga ekstremisme.”
Baginya, “kegagalan jabatan tersebut memainkan peranan sepatutnya sebagai sebuah agensi Islam” berpunca daripada kecenderungannya memilih birokrat berbanding cendekiawan dalam proses pengambilan kakitangan.
“Kebanyakan mereka lebih mengutamakan perundangan Islam berbanding falsafah dan bidang pengajian Islam lain,” katanya.
Beliau mencadangkan Jakim yang diperbaharui, mengambil kakitangan yang menguasai isu semasa berkaitan Islam seperti keganasan antarabangsa dan cabaran daripada kumpulan memperjuangkan hak homoseksual dan transgender.
Katanya, kakitangan itu harus mempunyai kemampuan untuk mencari penyelesaian berkesan.
Fauzi berkata, Jakim perlu memperluaskan bahagian penyelidikannya dan tidak memberikan gambaran seolah-olah ia hanya menumpukan isu ajaran sesat.
Katanya, Jakim juga perlu memastikan peranannya tidak bertindih dengan pihak berkuasa agama di peringkat negeri dan tidak dijadikan senjata politik mana-mana pihak.