
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, dengan titah perintah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bendera negeri, daerah dan persatuan itu diturunkan separuh tiang mulai hari ini hingga hari pemakaman jenazah Almarhumah.
“Semua masjid utama di negeri ini dititah mengadakan majlis tahlil dan doa ke atas roh Almarhumah selepas fardu maghrib mulai hari ini dan pada hari dimakamnya jenazah Almarhumah.
“Kerabat-kerabat diraja yang damping berkabung pada tarikh ini, kemudian 3 hari daripada dimakamnya jenazah Almarhumah, manakala rakyat dan penduduk negeri ini pula berkabung pada tarikh dimakamnya jenazah,” katanya ketika mengumumkan kemangkatan Almarhumah Khalsom di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, hari ini.
Rahim berkata, berkabung tidak diwajibkan kepada rakyat dan ia adalah pilihan sendiri, namun sebagai Bangsa Johor, rakyat harus menjunjung tinggi daulat Tuanku.
Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata, bagi lelaki Melayu, mereka perlu memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit, selebar 2 inci pada songkok hitam.
Bagi bangsa dan agama lain, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar 3 inci di lengan kiri atau bertali leher warna hitam, manakala bagi mereka yang berhak memakai uniform pada majlis tertentu, selilit kain hitam selebar 3 inci di lengan kiri.
Katanya, bagi perempuan Melayu, mereka perlu memakai tudung berwarna putih manakala perempuan bangsa dan agama lain memakai selilit kain hitam selebar 3 inci di lengan kiri atau bertudung hitam.
“Jenazah Almarhumah akan disemayam di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, di mana rakyat dan orang awam bolehlah mengunjung ziarah sebagaimana peraturan dan waktu yang akan ditetapkan kelak,” kata Rahim.
Beliau berkata bagi pakaian pada upacara pemakaman, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu Teluk Belanga serba putih berkain hitam berdagang luar dan berkabung, manakala lelaki bangsa lain memakai lounge suit berwarna hitam dan berkabung.
Khalsom, 83, mangkat pada 7.55 malam di Hospital King Edward VII, London, semalam.
Jenazah akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, pada tarikh dan waktu yang akan diumumkan kelak.