
Penumpang dan krew sebuah pesawat tidak dapat menahan bau busuk seorang lelaki menyebabkan beberapa penumpang berdekatan muntah dan pengsan, sehingga kapal terbang itu dilencongkan untuk membuat pendaratan cemas.
Pesawat penerbangan Transavia ke pulau percutian di Sepanyol, Gran Canaria terpaksa melakukan lencongan beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Schiphol di Belanda.
Krew Transavia pula cuba kuarantin lelaki tersebut di dalam tandas pesawat Boeing 737 sebelum juruterbang dipaksa membuat pendaratan cemas.
Mereka mendarat di Faro di selatan Portugal supaya lelaki berbau busuk itu dapat disingkirkan daripada pesawat tersebut, lapor Mirror.uk.
Seorang penumpang dari Belgium, Piet van Haut berkata bau lelaki itu tidak dapat diterima langsung.
“Ia seperti lelaki itu tidak mandi untuk beberapa minggu. Beberapa penumpang lain jatuh sakit dan muntah-muntah.
Transavia pula mengesahkan pendaratan tersebut dilakukan atas sebab perubatan.
Menariknya, ini bukan kali pertama berlakunya masalah bau di dalam penerbangan Transavia.
Pada Februari lalu, penerbangan dari Dubai ke Amsterdam juga terpaksa membuat pendaratan cemas di Vienna selepas seorang penumpang tidak dapat mengawal kentut.