
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan perkara itu “pencapaian yang sangat menakjubkan”.
Beliau juga memberikan penghormatan kepada aktivis, Shazarina Bakti, yang terlebih dulu memulakan kutipan dana.
Lim menasihati mereka yang memberikan derma agar menyimpan resit bagi tujuan menuntut pengecualian cukai pendapatan.
Dalam satu kenyataan akhbar, Lim berasa “rendah hati” dengan sifat baik hati rakyat yang tidak henti menyalurkan wang kepada Tabung Harapan, yang ditubuhkan bagi membantu kerajaan persekutuan “membayar semula hutang negara yang sangat tinggi”.
“Rakyat sememangnya sudah membawa semangat patriotik mereka kepada tahap lebih tinggi, sanggup memberikan elaun dan wang lebihan mereka untuk membina semula negara tercinta kita.
“Rakyat, terutamanya seperti aktivis muda dan graduan undang-undang, Shazarina Bakti, berterusan memainkan peranan dalam membina negara secara serius, dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti selepas kemenangan pada hari pilihan raya 9 Mei baru-baru ini.”
Shazarina memulakan laman kutipan dana untuk mengurangkan hutang negara seminggu sebelum Tabung Harapan Malaysia dilancarkan secara rasmi. Beliau setakat ini sudah mengumpul RM13,476.57.
Lim berkata, “Saya memuji usahanya untuk menghimpunkan rakyat pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada dana itu.
“Semangat harapan dan bersatu-padu inilah yang akan memangkin kerajaan Pakatan Harapan untuk bergerak maju memenuhi ikrar manifestonya untuk rakyat.
“Saya juga berbesar hati mengumumkan setakat 3.00 petang, Khamis (31 Mei), Tabung Harapan Malaysia sudah berjaya mengutip RM7,075,508.79 dalam masa kurang 24 jam selepas tabung itu dilancarkan oleh kerajaan.
“Ini sememangnya pencapaian yang menakjubkan.”
Dalam memastikan kerajaan telus dengan setiap sen yang disumbangkan, Lim berkata jumlah kutipan akan dikemas kini, dan diberitahu setiap hari di lama web Kementerian Kewangan dan di platform media sosial rasminya.
Buat masa ini, hutang rasmi kerajaan adalah RM686.8 bilion, iaitu 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).