
Gerakan pendidikan Cina Dong Zong berkata, ia mahu mengadakan pertemuan dengan menteri pendidikan baharu, Maszlee Malik bagi membincangkan perkara itu tetapi belum menerima jawapan balas daripadanya.
Pengulas politik, Tang Ah Chai berkata, masih ada beberapa halangan yang perlu diatasi termasuk bantahan daripada beberapa kumpulan, terutamanya cendekiawan Melayu.
“Mereka memang bantah UEC, kata mereka ia bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan dan mereka tidak boleh terima UEC sebagai peperiksaan yang dibuat di luar sistem pendidikan kerajaan,” katanya kepada FMT apabila diminta memberi komen tentang halangan kepada pengiktirafatn sijil tersebut.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengetepikan pengiktirafan terhadap UEC, tetapi Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pakatan politik itu akan mengiktiraf UEC sekiranya mendapat kuasa.
Pengiktirafan UEC, sijil lepasan peperiksaan sekolah persendirian Cina, merupakan antara janji pilihan raya PH dan Pakatan Rakyat sebelum itu. Sijil itu mendapat pengiktirafan terhad sebagai kelayakan kemasukan di Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang, tetapi tidak diterima oleh perkhidmatan awam Persekutuan atau universiti awam tempatan.
Pertubuhan orang Melayu seperti Perkasa dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membantah pengiktirafan UEC sebagai kelayakan kemasukan ke universiti awam atas alasan kurikulum UEC tidak selaras dengan dasar pendidikan kerajaan.
Di sebalik halangan itu, Tang percaya kerajaan baharu PH akan bersikap lebih terbuka.
“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Majlis Profesor Negara baru-baru ini. Majlis tersebut menolak UEC,” katanya.
Beliau juga menasihatkan kumpulan pendidikan Cina seperti Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina) dan Jiao Zhong (Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia) sekiranya mahu mengadakan pertemuan dengan menteri pendidikan, supaya tidak hanya bercakap tentang UEC kerana kementerian mungkin menganggap mereka berfikiran sempit, sebaliknya perlu mengemukakan pandangan tentang cara meningkatkan mutu pendidikan negara pada masa depan.
Penganalisis, Thock Kiah Wah lebih optimis. “Saya fikir PH akan mengiktiraf UEC kerana mereka banyak bercakap tentangnya sebelum ini. Bagaimanapun, berapa lama masa yang bakal diambil bagi memenuhi harapan masyarakat Cina itu bergantung kepada kesedian menteri menepati janji PH,” katanya.
Presiden Dong Zong, Vincent Lau menggesa PH memenuhi ikrar kempen mereka untuk mengiktiraf UEC.
“Walaupun UEC mungkin tidak termasuk dalam senarai perkara yang mahu dicapainya dalam 100 hari pertama, Dong Zong tidak lagi melihat halangan terhadap pengiktirafan sijil itu.
Lau berkata, Dong Zong juga menyetujui syarat PH yang menghendaki pelajar lulusan UEC menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, Selasa lepas Dong Zong menulis surat kepada Maszlee selepas beliau mengangkat sumpah jawatannya meminta diadakan pertemuan, tetapi belum menerima jawapan balas. FMT gagal menghubungi Maszlee bagi mendapatkan komen beliau.
UEC diwujudkan oleh sekolah persendirian Cina lebih 45 tahun lalu, apabila kerajaan tidak lagi membiayai sekolah berkenaan dan menyediakan kertas peperiksaan untuk mereka kerana lembaga sekolah enggan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran.
Pemegang sijil UEC diterima mengikuti pengajian ijazah pertama di kira-kira 1,000 universiti antarabangsa dan universiti swasta tempatan tanpa perlu mengikuti kelas pra-universiti.
Institusi milik kerajaan negeri Sarawak dan Selangor menerima sijil UEC sebagai kelayakan kemasukan, dan sebagai syarat kemasukan ke dalam perkhidmatan awam Sarawak, serta syarikat milik kerajaan negeri di Pulau Pinang.