Tolong lindungi polis ini, isteri aktivis hilang rayu Muhyiddin

Tolong lindungi polis ini, isteri aktivis hilang rayu Muhyiddin

Norhayati berkata beliau bimbang pendedahan yang dibuat Shamzaini menyebabkan pegawai Cawangan Khas itu menerima tekanan.

Free Malaysia Today
Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin dan isteri Raymond Koh, Susanna ketika hadir untuk pendengaran panel Suhakam hari ini.
KUALA LUMPUR:
Isteri aktivis Perlis, Amri Che Mat yang hilang sejak 2016 hari ini berkata pihaknya merayu Menteri Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi perlindungan kepada seorang pegawai polis berpangkat sarjan bernama Shamzaini yang membuat beberapa pendedahan mengejutkan mengenai suaminya.

Norhayati Ariffin berkata beliau bimbang pendedahan yang dibuat Shamzaini kepadanya pada 12 Mei lalu akan menghadapi tekanan daripada pihak tertentu sehingga memaksa beliau berubah apabila tiba gilirannya memberi keterangan kepada siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Saya telah menyatakan perkara ini kepada Muhyiddin pada Isnin lepas melalui pegawainya di ibu pejabat PPBM,” katanya.

“Saya berharap pihak KDN memberi perlindungan kepada Shamzaini supaya apa yang telah dibongkarkan ini beliau boleh bercakap dengan betul. Bila beliau dah berani bongkar, sudah tentu beliau akan rasa tertekan dan berkemungkinan beliau tidak bercakap dengan betul.

“Saya minta sangat-sangat supaya beliau dilindungi supaya dapat bercakap dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada panel Suhakam yang menyiasat kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh dan 2 orang lagi.

Terdahulu, Norhayati memberitahu panel itu yang dia dimaklumkan oleh seorang pegawai berpangkat sarjan bernama Shamzaini, yang suaminya dikasari sebelum diculik oleh sepasukan polis dari Bukit Aman pada November 2016.

“Sham berkata dia buat keputusan untuk bercakap tentang Amri kerana dia tidak mahu terlibat,” katanya mengenai pertemuannya dengan pegawai polis itu pada 12 Mei lalu, 3 hari selepas keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan pertukaran kerajaan pusat.

Sebelum ini, Norhayati berkata seorang pegawai menziarahi beliau dan menamakan seorang pegawai tinggi dari Bahagian Ekstremis Sosial Bukit Aman sebagai orang yang mengetuai operasi menculik Amri dan Koh. Menurutnya, pegawai Cawangan Khas Razman Ramli juga menyalurkan maklumat pengintipan mengenai Amri kepada polis di Bukit Aman.

Norhayati berkata beliau menerima dakwaan yang dibuat Shamzaini.

“Saya rasakan suami saya sekarang ada bersama diambil oleh mereka (polis Bukit Aman). Saya yakin dengan pengakuan Shamzaini, suami saya dan Koh di ambil oleh pihak Cawangan Khas Bukit Aman. Bebaskan suami saya dan Koh,” katanya, sambil ditemani isteri Koh, Susanna Liew.

Amri hilang sejak 24 November 2016. Saksi dalam inkuiri awam Suhakam sebelum ini menceritakan mengenai beberapa lelaki yang mencurigakan memintas kenderaan Amri pada malam kehilangannya. Keretanya ditemui kira-kira 20km dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis.

Kira-kira 12 minggu kemudian, pada 13 Februari, Koh diculik beberapa lelaki bertopeng menggunakan SUV hitam yang menghalang keretanya di siang hari di sebuah jalan raya sibuk di Petaling Jaya. Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berdekatan.

Selain Amri dan Koh, inkuiri awam itu juga menyiasat kehilangan Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, yang kali terakhir dilihat hanya seminggu selepas kehilangan Amri.

Terdapat spekulasi mengatakan Koh, Joshua dan Ruth diculik kerana mereka cuba memurtadkan umat Islam, tuduhan yang ditolak oleh Susannah.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pernah menolak sebarang dakwaan polis terlibat dalam penculikan tersebut.

Amri dituduh mengamalkan ajaran mazhab Syiah yang dilabel menyimpang oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia.

Isterinya pernah mendakwa Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengganggu keluarganya. Asri yang turut dipanggil ke Suhakam menafikan dakwaan itu, tetapi mengakui beliau melawat rumah Asri untuk bertanya tentang pegangan mazhab suaminya, disertai polis dan pegawai jabatan mufti Perlis.

Polis Cawangan Khas beritahu saya Amri dipukul ketika diculik, kata isteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.