
Pengerusinya, bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk membincangkan perkara itu dan bertukar pandangan.
“Hanya Allah tahu berapa lama (siasatan itu) akan mengambil masa. Jawatankuasa hanya menyelaraskan pasukan penyiasat… Justeru, kami perlu memperkukuhkan tindakan kami bagi mengelakkan pertindanan penyiasatan.
“Ia (siasatan itu) boleh jadi pendek, boleh jadi panjang (lebih 100 hari), bergantung kepada tahap kerumitan perkara disiasat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan hari ini.
Abu Talib berkata, masih terlalu awal untuk jawatankuasa siasatan 1MDB membuat sebarang ulasan kerana pada masa ini ia dalam fasa bertukar maklumat dengan pihak terbabit.
“Kami sedang bertukar maklumat (buat masa ini ini)… itu sahaja. Jawatankuasa kami sedang cuba menyelaraskan apa cara terbaik untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” tambahnya.
Ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan, jawatankuasa itu turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman, Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin serta Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.
Tumpuan utama jawatankuasa itu adalah memastikan Malaysia dapat mensabitkan semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan perolehan semula semua aset yang dapat dikesan berkaitan 1MDB
Sementara itu, Pasukan Khas Siasatan 1MDB pula diketuai bersama bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah cawangan khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.