Selamatkan laut, lanjutkan survival

Selamatkan laut, lanjutkan survival

Aktiviti manusia banyak menyumbang kepada lebih daripada 80% air sisa dibuang ke sungai atau lautan.

Saya diberi penghormatan untuk mengendalikan satu sesi ceramah mengenai lautan yang dianjurkan oleh World Youth Foundation dan ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia.

Sesi berkenaan dihadiri lebih 50 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan para penceramah pula, dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Pecinta Alam Malaysia, berjaya memukau para hadirin dengan perkongsian pengetahuan dan pengalaman mereka yang mendalam – kesemuanya demi memelihara anugerah semulajadi yang tidak ternilai, lautan.

Sesi sehari itu berkesan dalam membina keyakinan golongan muda untuk membawa impak positif kepada komuniti masing-masing.

Lautan adalah sebahagian daripada kehidupan. Ia sangat penting untuk kelangsungan hidup manusia dan sebagai sumber air minuman yang bersih.

Bagaimanapun, aktiviti manusia banyak menyumbang kepada lebih daripada 80% air sisa dibuang ke sungai atau lautan. Keadaan ini membunuh ekosistem marin dan memberi kesan kepada keupayaan lautan untuk menyediakan sumber makanan, melindungi punca pendapatan dan mengekalkan kebersihan air. Lautan terdiri daripada 96.5% air di muka bumi, namun hanya kurang 1% sahaja adalah air tawar dan boleh didapati untuk kegunaan manusia.

Negara-negara Komanwel sangat beruntung kerana dikurniakan kawasan pantai yang berjuta-juta kilometer panjangnya.

Malangnya, kebanyakan negara ini menghadapi masalah akibat daripada kenaikan suhu lautan, pengasidan lautan dan pencemaran marin. Pelbagai sisa buangan marin sudah lama menjadi masalah kepada hidupan marin. Kira-kira 80% daripada pencemaran marin adalah berpunca daripada kegiatan berasaskan tanah.

Setiap tahun, dianggarkan 67 juta tan plastik, semuanya mengandungi toksin, dibuang ke dalam laut akibat aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab, justeru menjadi ancaman kepada hidupan laut selain ekosistem marin dan kesihatan manusia di seluruh dunia. Bahan-bahan buangan daripada plastik menyebabkan lebih sejuta burung laut dan 100,000 mamalia marin mati setiap tahun.

Menurut laporan Ocean Conservancy International Coastal Cleanup pada 2017, sampah yang paling kerap dijumpai di lautan termasuk puntung rokok, botol plastik, penutup plastik botol, beg plastik, straw plastik minuman dan bekas stirofoam yang boleh membahayakan anjing laut, ikan lumba-lumba, ikan paus, ikan yu dan manusia.

Sebagai pengguna, kita semua perlu membuat perubahan dalam mempromosi pemuliharaan lautan dengan mengurangkan penggunaan plastik, menggalakkan penggunaan produk jenis boleh urai (biodegradasi) dan, mengamalkan langkah diet bijak dengan pengambilan makanan laut dengan lebih bertanggungjawab.

Strategi-strategi pemuliharaan lautan dan penyelesaian berkesan kepada permasalahan itu memerlukan tindakan daripada semua sektor masyarakat, mahupun yang muda atau tua. Kita semua perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dalam melindungi ekosistem yang pelbagai.

Terdapat beberapa langkah yang dapat dilaksanakan untuk menyelamatkan lautan kita demi generasi masa hadapan:

Menggalak dan meningkatkan kesedaran umum dengan mengkaji dan berkongsi fakta-fakta mengenai lautan. Pendidikan dan pembelajaran alam sekitar akan memupuk kesedaran yang seterusnya mempromosi pemeliharaannya.

Mulakan ketika masih muda – ibu bapa dan guru harus mendedahkan anak/pelajar kepada program pendidikan alam sekitar yang memberi tumpuan ke arah memupuk kecintaan terhadap pemuliharaan dan alam semulajadi.

Berhenti menggunakan produk plastik guna tunggal. Kepentingan air yang dibotolkan tidak boleh diabaikan tetapi botol plastik guna tunggal bukan sahaja akan menjadi punca bertambah longgokan sampah malah tidak baik untuk alam sekitar. Sebaiknya gunakan botol yang boleh diguna semula atau botol kaca kerana ini dapat mengurangkan pembelian produk plastik sekali gus sampah di tapak pelupusan dapat dikurangkan.

Mengamalkan 3R – kurangkan guna semula dan kitar semula – untuk mengurangkan sisa buangan. Langkah membeli-belah dalam talian secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pembelian barang-barang yang bukan keperluan yang anda berkemungkinan cenderung membelinya jika berada di kedai. Bawa beg yang boleh diguna semula dan elak mengguna beg plastik, walaupun anda mampu membayarnya.

Jadilah seorang yang bertanggungjawab; jika terjumpa sampah di kawasan kejiranan, pejabat, taman permainan atau mana-mana tempat awam, pungutlah. Tindakan itu, walaupun nampaknya remeh sebenarnya amat bermakna kerana dapat mengurangkan jutaan sampah sarap yang terapung ke pantai dan menambah masalah pencemaran yang semakin meningkat di lautan.

Penganjuran program kemasyarakatan seperti pembersihan pantai, penanaman pokok dan kempen 3R, boleh memberi kesan langsung kepada rakyat, alam semulajadi dan persekitaran kita.

Rancang lawatan dengan anak anda ke tempat pelupusan atau stesen pemindahan sisa buangan, atau ikutlah kenderaan pemampat sampah untuk mengetahui pengurusan sampah yang selama ini tidak pernah kita hidu mahupun lihat. Bau busuk dan kesemua sampah itu “tersembunyi dari pandangan dan pengetahuan” namun hakikatnya ia berpunca daripada tindakan buruk manusia yang menjadi punca utama segala kemusnahan.

Kita tidak sepatutnya lupa planet ini adalah satu-satunya tempat tinggal dan ia hanya akan kekal sihat dan cantik jika kita mengambil langkah-langkah perlu untuk memulihara lautan kita. Lautan yang sihat menjamin kehidupan di dalamnya dan kelangsungan hidup kita.

Memang membanggakan, hasil daripada acara berkenaan dibawa ke Commonwealth Youth Forum pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang berlangsung dari 16 hingga 20 April 2018 di London.

(Komentar oleh Ravindran Raman Kutty, yang bukan sahaja gemar menulis malah aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan adalah pemenang anugerah pengamal komunikasi. Beliau yang juga aktivis kebajikan yang mencintai alam sekitar, berkongsi keprihatinan terhadap nasib penyu yang mendarat di pantai negara ini.)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.