Pemanggil harus elak 5 perkara ketika siaran langsung

Pemanggil harus elak 5 perkara ketika siaran langsung

Penerbit dan joki radio juga ada 'pause button' untuk hentikan serta-merta panggilan tidak wajar daripada berterusan.

Apabila mengundang tetamu ke program radio atau televisyen, kini termasuk YouTube, untuk siaran secara langsung, lazimnya, tetamu akan dinasihatkan beberapa perkara.

Antaranya ialah bagaimana mereka perlu menjaga sopan tutur kata dan penampilan, mengelak daripada berpolitik atau propaganda (jika ia bukan program politik), tidak bersikap rasis atau menjaga sensitiviti, tidak menamakan apa-apa jenama kerana ia bukan iklan dan banyak lagi.

Nampaknya, selain tetamu khas yang diundang, pemanggil juga perlukan buku manual menjaga tertib semasa membuat panggilan dalam program siaran langsung.

Sememangnya, tindakan atau keterlanjuran tertentu bukan saja memalukan tetamu dan pihak media tetapi pemanggil itu sendiri.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan perlakuan seorang pemanggil yang membuat kenyataan seksis kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

FMT Ohsem menghubungi bekas pengacara sebuah saluran radio untuk bertanya pendapat dan cadangan terhadap perkara yang tidak sepatutnya ditanya atau dibicarakan oleh pemanggil dalam siaran langsung.

Menurutnya yang enggan namanya disiar, pihak saluran radio lazimnya mengamalkan 2 cara merakam panggilan telefon, iaitu:

1. Panggilan dirakam terlebih dahulu – Dengan ini penerbit rancangan akan dapat menilai keperluan soalan dan nilai kepentingan kepada tetamu. Tetamu juga boleh memilih untuk menjawab atau menolak soalan tersebut.

2. Pemanggil akan memberitahu soalan yang ditanya kepada penerbit – Sebelum dibenarkan bercakap secara langsung, penerbit akan bertanya soalan yang mahu ditanya. Menerusi cara itu, tetamu rancangan mahupun joki akan lebih bersedia.

Lagipun, penerbit dan joki radio juga mempunyai “pause button” untuk menghentikan secara serta-merta panggilan pendengar bagi memastikan “soalan tidak wajar” tidak berterusan.

“Amnya apa sahaja yang disampaikan dalam konti akan lewat 2 hingga 3 saat sebelum ia sampai ke corong radio. Jadi kita masih ada waktu genting itu untuk menyelamatkan apa-apa situasi luar kawalan,” katanya mengakui kepentingan ketajaman penerbit dan joki apabila mengendalikan tetamu, apatah lagi mereka yang berprofil tinggi.

Di bawah dinyatakan 5 soalan atau perkara yang tak patut ditanya atau disebut kepada tetamu dalam rancangan secara langsung (atau mana-mana program):

1. Peribadi
Paling utama dilarang terutamanya membabitkan hal ehwal rumah tangga, maklumat peribadi seperti umur, tempat tinggal, berat, tinggi dan sebagainya.

Jika tetamu itu seorang yang terpalit dengan kontroversi peribadi, misalnya masalah rumah tangga, seks, hubungan, kewangan, pemanggil dilarang sama sekali.

2. Politik
Tetamu itu mungkin hadir atas kapasiti bukan politik, jadi pemanggil kena hormatinya. Soalan mengenai politik juga tidak sepatutnya ditanya kepada mereka yang tidak kena-mengena dengan politik seperti artis, karyawan, penulis dan sebagainya. Tetamu juga mungkin tidak selesa atau tidak mahu terlibat dalam hal ini.

3. Kesihatan
Walaupun tetamu pernah menceritakan mengenai penyakit mereka, tetapi jika mereka hadir ke rancangan bukan atas sebab kesihatan, pemanggil sama sekali perlu mengelak daripada bercakap mengenainya. Lazimnya hal berkaitan masalah kesihatan, atau penyakit juga hal ehwal peribadi.

4. Jenama

Pemanggil dilarang menyebut nama produk jenama lain dalam rancangan radio kecuali jenama yang dipromosi pada waktu itu. Katakan tetamu seorang artis yang menjadi duta produk untuk jenama A, B, C dan X, namun mereka ditemu ramah atas kapasiti sebagai duta produk X, maka pemanggil dilarang menyebut atau bertanya mengenai jenama A, B mahu pun C.

5. Rasis, lucah dan seksis
Ha… Ini yang paling penting! Kerana kita mungkin terbawa-bawa perangai menghentam dan mengecam orang di laman sosial ke rancangan langsung di radio. Janganlah sesekali terlepas kata, lucah, kotor atau berunsur rasis dan seksis kepada tetamu mahupun joki radio itu sendiri. Tak perlu komen mengenai pakaian yang dipakai atau citarasa fesyen jikaianya berniat untuk menghina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.