
Mohd Hafizan A Azis, 34, pengurus syarikat penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan, Securiforce, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Lelaki itu didakwa merompak wang tunai RM2,747,899 milik Securiforce cawangan Rawang dengan menunjukkan sepucuk senjata api jenis ”pump gun” yang boleh mendatangkan ketakutan dan kematian terhadap 3 kakitangan syarikat sama, Basirum Jaih, 59, Jalil Rasol, 58, dan Mohd Shahrul Iman Shafie, 31.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Securiforce cawangan Rawang di Jalan Indah 1/1, Taman Industri Rawang Indah, Rawang pada 2.45 pagi 14 Mei 2018 mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup dan sebat maksimum 6 kali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahmad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon supaya dia dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes.
Media melaporkan dalam kejadian pada 14 Mei lepas, bekas pegawai tentera itu dipercayai bertindak melarikan wang tunai berkenaan yang diletakkan di sebuah bilik kebal syarikat kawalan keselamatan tersebut.
Dia memberi alasan untuk menumpang tidur di pejabat itu sebelum mengurung 3 rakan sepejabatnya dan melarikan wang tersebut dengan menaiki sebuah motosikal.