Guan Eng: Bantuan Hari Raya akan dipertimbang

Guan Eng: Bantuan Hari Raya akan dipertimbang

Beliau berkata cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

Free Malaysia Today
Lim berkata, kerajaan berdepan isu fiskal dan hutang negara, di mana kedudukan kewangan negara tidak selari dengan apa yang disebarkan kepada rakyat.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kewangan akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidifitri yang bakal menjelang, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

“Untuk Hari Raya ini, ada yang bertanya (tentang bantuan), tapi saya harap tuan-tuan dan puan-puan bertimbang rasa kerana keadaan ekonomi (negara) yang kurang baik,” katanya ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian itu, perhimpunan pertamanya selepas memegang jawatan berkenaan.

Lim juga berkata bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita cuba menonjolkan imej kepimpinan melalui teladan, kita tidak memotong gaji penjawat awam, sebaliknya gaji menteri kabinet dipotong sebanyak 10% …ini dipersetujui dalam mesyuarat kabinet pertama Pakatan Harapan.

“Dan mesej yang hendak kita sampaikan ialah ekonomi Malaysia berdepan masalah kerana ketirisan dan penyelewangan wang yang terjadi sebelum ini,” katanya.

Lim menjelaskan, kerajaan berdepan isu fiskal dan hutang negara, di mana kedudukan kewangan negara tidak selari dengan apa yang disebarkan kepada rakyat.

“Bagaimana pun, janji hendaklah dipegang teguh walaupun ia bertembung dengan posisi fiskal negara,” katanya, sambil menambah, beliau akan menyatukan sistem dan laporan kewangan negara dalam minggu pertama menjalankan tugas sebagai menteri kewangan.

Laporan tersebut dijangka dapat memberi gambaran jelas mengenai prinsip asas ekonomi, dan tiada maklumat yang akan dirahsiakan.

“Kita juga akan meminta syarikat penarafan terkemuka seperti Pricewaterhouse Coopers membantu kita dalam melancarkan lagi proses ini,” katanya.

Ini penting dalam mengimbangkan kedudukan fiskal negara dan janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa kempen pilihan raya ke-14.

Lim juga berharap Malaysia akan menjadi negara yang menerapkan aspek keusahawanan dan pada masa yang sama, menjaga kebajikan rakyatnya.

“Keusahawanan dan kebajikan boleh berjalan selari, dan Pulau Pinang merupakan contoh pelaksanaannya yang berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.