Cadangan Asri tak boleh pakai, kata Umno Perlis

Cadangan Asri tak boleh pakai, kata Umno Perlis

Mengapa perlu adakan pilihan raya baru apabila BN menang majoriti kerusi, kata setiausaha Umno negeri.

Free Malaysia Today
Datuk Zahidi Zainul Abidin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Perlis menepis cadangan Datuk Mohd Asri Zainul Abidin sebagai “tidak boleh pakai”, selepas mufti itu menggesa pilihan raya baru diadakan bagi memecah kebuntuan pembentukan kerajaan di negeri kecil itu.

Setiausaha Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kebuntuan sekarang bukan mengenai kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri tetapi mengenai sokongan majoriti Adun BN.

Zahidi mengingatkan pilihan raya baru tidak perlu kerana Barisan Nasional sudah memiliki 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis.

“Sebenarnya Perlis tidak ada isu. Isunya Datuk Seri Azlan Man tidak boleh lantik exco sebab 9 Adun BN yang lain tidak bersama beliau,” kata Zahidi kepada FMT.

“Bila tak lantik exco macam mana nak adakan sidang dewan? Akhirnya beliau kena letak jawatan, bila beliau letak jawatan akan ada menteri besar baharu.”

Terdahulu, Asri menggesa pilihan raya baru diadakan selepas Umno Perlis memecat Azlan selang beberapa jam selepas mengangkat sumpah semalam.

Asri berkata semua pilihan raya baru cara terbaik untuk memuaskan hati pihak bertelagah, dan rakyat Perlis mungkin sudah berubah hati.

Dilema politik di Perlis berlaku selepas pilihan raya 9 Mei lepas apabila BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN tetapi gagal memilih seorang menteri besar yang disokong semua pihak.

Sembilan Adun BN atau “BN 9” memboikot majlis angkat sumpah semalam dan mengundang kemarahan Raja Perlis. Majlis dihadiri Adun Pakatan Harapan dan PAS, yang bersama membentuk 5 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga bekas menteri besar negeri itu, memecat Azlan daripada parti.

Beliau juga mengkritik Raja Perlis yang didakwanya mencampuri urusan pentadbiran negeri, dan berkata dia mengorbankan jiwa dan raya untuk memastikan kemenangan BN.

Sementara itu, Zahidi berkata jika Raja Perlis tidak bersetuju melantik calon menteri besar dari kalangan “BN 9”, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail boleh memilih individu bukan Adun dengan persetujuan majoriti wakil rakyat.

“Mengikut undang-undang tubuh kita boleh lantik menteri besar orang luar. Penjawat awam pun boleh tapi kena dipersetujui 9 Adun BN itu sahaja,” katanya.

Asri gesa pilihan raya semula di Perlis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.