Masa bermain politik sudah tamat Najib ingatkan kerajaan PH

Masa bermain politik sudah tamat Najib ingatkan kerajaan PH

Bekas perdana menteri berkata, "kenyataan mengejutkan dan mengelirukan" oleh pemimpin PH memberi kesan ke atas indeks Bursa Malaysia, yang jatuh paling teruk dalam semua pasaran saham dunia.

Free Malaysia Today
Gambar Reuters
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perbuatan mengatakan hutang kerajaan adalah sebanyak 65% daripada KDNK, yang jauh lebih tinggi daripada angka rasmi 50.9% dan mendakwa hutang itu berjumlah RM1 trilion tanpa memberikan perinciannya akan hanya menggugat pasaran kewangan.

Ia juga akan menakutkan agensi penarafan dan memberi kesan ke atas keyakinan pelabur terhadap institusi negara seperti Bank Negara Malaysia, katanya.

“Harus ada pemisahan jelas antara naratif politik dengan fakta.

“Mencampuradukkan kedua-duanya akan menimbulkan keraguan terhadap kebolehpercayaan angka rasmi kita dan profesionalisme institusi yang menyediakannya yang dikawal oleh undang-undang negara dan standard antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya bertajuk “Political narrative or facts?”.

Najib berkata akibat “kenyataan yang mengejutkan dan mengelirukan” itu indeks Bursa Malaysia jatuh paling teruk dalam kalangan pasaran saham seluruh dunia, menyebabkan puluhan bilion ringgit nilai pasaran hilang dalam satu hari.

“Indeks Bursa kita jatuh 40.78 mata atau 2.21% hari ini (semalam), berbanding indeks Indonesia yang menokok 0.71%.

“Portal berita bisnes, The EdgeMarkets melaporkan, kejatuhan teruk pasaran saham ini disebabkan kebimbangan terhadap hutang awam kita.

“Pastilah kejatuhan ini akan mempengaruhi dana kita seperti KWSP dan PNB, dan akan menurunkan kadar dividen kepada pencarum untuk tahun ini.

Najib berkata, walaupun pemimpin PH mahu terus memfitnah dan menyalahkan beliau bagi mewujudkan persepsi keadaan kewangan yang buruk menyebabkan kerajaan baru tidak dapat menunaikan janji manifesto pilihan raya dan mewajarkan langkah mengurangkan anggota perkhidmatan awam, tetapi kerajaan PH juga perlu sedar bahawa negara dan rakyat mesti terus didahulukan.

“PH juga boleh terus mengeluarkan kenyataan salah berhubung 1MDB atau bercakap separuh benar tentangnya bagi menyalahkan saya, tetapi masa bermain politik telah tamat,” katanya.

Beliau berkata, kata-kata yang diucapkan oleh orang yang memegang kuasa boleh mengakibatkan kerugian sebenar kepada negara dan rakyat, seperti “terbukti hari ini pada pasaran saham kita”.

“Ini bukan lagi tentang undi semata-mata.

“Kata-kata yang diucap sewaktu menjadi pembangkang tidak sama kesannya ketika anda kini memegang kuasa dan menduduki jawatan menteri kewangan atau perdana menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.