
“Gaji menteri sebenarnya lebih rendah daripada sesetengah penjawat awam berpangkat tinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, keputusan membubarkan 2 agensi kerajaan itu kerana Jasa dilihat menyokong kerajaan terdahulu dan SPAD pula mempunyai pertindihan tugas.
“SPAD tidak akan dikekalkan, sebaliknya tugas ini kembali kepada Kementerian Pengangkutan. Jasa akan dibubarkan. Kami tidak perlukan kepakaran dari mereka, saya rasa kami sudah cukup pakar.”
Beliau berkata, Putrajaya juga akan membubarkan Majlis Profesor Negara (MPN).
“Untuk MPN, pada mulanya ia satu badan yang kita guna untuk dapatkan maklumat dari orang yang berpengetahuan tinggi, tetapi akhir-akhir ini, banyak unsur politik sehingga dipergunakan untuk menyokong kerajaan, sebab itu kita tidak mahu ulangi amalan tidak baik dahulu.”
Dr Mahathir berkata, tugas dan perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) turut dimansuhkan kerana mengandungi unsur politik.
“Kita dapati bayar gaji kepada JKKKP yang sebenarnya menjadi seolah-olah satu aset kerajaan, itu semua akan digugurkan.
“Kita ada pegawai kerajaan yang boleh jalankan tugas. Kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKKP kerana kita tidak mahu amalkan politik seperti dahulu.”
Katanya, kerajaan akan memastikan penjawat awam bergaji rendah tidak terjejas dalam proses memberhentikan 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula janji kerajaan terdahulu untuk memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi semua penjawat awam, berkuat kuasa 1 Julai ini.