Bekas menteri saran Sarawak wujud sistem tangani aduan rakyat

Bekas menteri saran Sarawak wujud sistem tangani aduan rakyat

Nancy Shukri berkata, sistem memantau aduan rakyat di media sosial supaya tindakan boleh diambil segera melalui agensi berkaitan perlu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Free Malaysia Today
Nancy Shukri berkata, dengan adanya sistem itu, agensi berkaitan boleh bertindak ke atas aduan berdasarkan maklumat yang dipantau atau disiasat pejabat daerah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri mencadangkan kerajaan Sarawak mewujudkan satu sistem untuk memantau aduan rakyat di media sosial supaya tindakan boleh diambil segera melalui agensi berkaitan.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberi contoh krisis air yang berlaku setiap kali musim kemarau melanda sesetengah kawasan di negeri itu dan prosedur operasi standard (SOP) seperti itu perlu diselaraskan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, tidak kira wakil rakyat kerajaan atau pembangkang, mereka terpaksa kembali kepada sistem pihak berkuasa tempatan.

“Penduduk setempat tiada tempat untuk mengadu, melainkan kepada wakil rakyat. Maka, sebagai wakil rakyat, kami cuba menyelesaikan masalah setempat mengikut keadaan di kawasan masing-masing.

“Kita tidak mahu tindakan hanya dibuat ke atas satu kampung sahaja kerana hanya sebuah kampung sahaja yang mengadu di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy berkata, dengan adanya sistem itu, agensi berkaitan juga boleh bertindak ke atas aduan berdasarkan maklumat yang dipantau atau disiasat pejabat daerah.

Mengenai krisis air disebabkan musim kemarau, Nancy berkata, pusat khidmatnya membantu penduduka mengatasi krisis air dengan menghantar air mineral untuk kegunaan memasak ke lebih 2,000 rumah.

“Saya amat bersimpati dengan mereka yang akan meraikan Gawai dan juga penduduk Islam yang berpuasa terpaksa melalui kepayahan ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg yang bersetuju memberi peruntukan kepada ahli Parlimen Barisan Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.