
Gobind berkata beliau dan pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar sebelum mengemukakan satu cadangan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Kabinet esok.
“Saya fikir ramai orang hendak tahu apa itu berita tidak benar, siapa yang boleh menentukannya? Saya sering menegaskan Akta Antiberita Tidak Benar dibawa ke Parlimen untuk kelulusan secara tergesa-gesa, tidak difikirkan dengan semasak-masaknya. Kesannya, undang-undang tersebut membawa pengertian yang amat luas dan boleh disalah guna.
“Itulah sebabnya kenapa kita perlu mengkajinya,” kata ahli Parlimen Puchong itu, yang memulakan hari pertamanya bertugas di kementerian pada 8.15 pagi ini.
Gobind yang memakai kot dan bertali leher belang merah, tiba dengan kenderaan rasminya. Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.