
Kumpulan itu yang terdiri daripada Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sisters In Islam dan Empower, berkata penyertaan wanita dalam Kabinet hanya 20%, dan mendesak sasaran 30% perwakilan dipenuhi.
“PH menjanjikan perkara ini dalam Komitmen Wanita nombor 5 dalam Buku Harapan, iaitu mempromosikan dan mencapai kesaksamaan gender di negara ini,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.

“Bilangan calon Ahli Parlimen wanita yang layak mencukupi. Apa yang diperlukan adalah mengemukakan nama mereka untuk pertimbangan perdana menteri.”
Wakil kumpulan itu berkata pilihan raya umum lalu menyaksikan pengundi wanita lebih ramai berbanding lelaki di semua negeri kecuali 2 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan.
“Wanita keluar beramai-ramai untuk mengundi sinar baru di Malaysia meskipun bilangan calon wanita agak sedikit di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bukti wanita ingin melihat perubahan yang akan menangani masalah dan kebimbangan mereka.”

Kumpulan itu juga berkata lebih ramai perwakilan wanita diperlukan dalam membuat keputusan, dan “ketidakadilan yang menonjol” jika wanita tidak diendahkan dalam pembentukan Kabinet baharu.
Walaupun mereka mengalu-alukan pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri, ia belum mencukupi. Mereka juga menyediakan senarai Ahli Parlimen wanita yang perlu dipertimbangkan untuk dilantik sebagai menteri serta kelayakan mereka.
Ia termasuk Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), Hannah Yeoh (Segambut), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Teresa Kok (Seputeh, DAP), Fuziah Salleh (Kuantan), Teo Nie Ching (Kulai), Alice Lau (Lanang), Yeo Bee Yin (Bakri) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).