Justo temui Dr Mahathir

Justo temui Dr Mahathir

Justo menyifatkan pertemuan itu sebagai 'kesempatan yang sangat berharga dan saat menakjubkan'.

Free Malaysia Today
Gambar pertemuan Justo dan Dr Mahathir di Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warga Switzerland dan bekas kakitangan PetroSaudi International, Andre Xavier Justo yang merupakan antara saksi utama dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan membabitkan 1MDB, menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justo memuat naik gambar pertemuan itu ke Facebooknya, di mana beliau berkemeja putih belang dan Dr Mahathir pula berkemeja putih petak.

Pertemuan itu diadakan di Kuala Lumpur, tetapi Justo tidak memberitahu tarikh dan kandungan perbincangannya dengan pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Kesempatan yang sangat berharga dan saat menakjubkan,” tulis Justo dalam statusnya.

Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun ke atas Justo pada Ogos 2015, selepas dia mengaku bersalah cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi, syarikat minyak berpusat di Arab Saudi yang merupakan rakan usaha sama 1MDB.

Mahkamah memerintahkan Justo menjalani hukuman penjara itu mulai 22 Jun 2015, tarikh dia ditahan pihak berkuasa Thailand di Pulau Koh Samui, selatan Thailand.

Hukuman penjara 3 tahun Justo kemudian dipendekkan selepas dia diberikan 2 pengampunan diraja oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej dan Raja Maha Chakri Bodindradevarangkun.

Pada 21 Mac lalu, Justo dipetik Reuters sebagai berkata, beliau cuba membersihkan namanya setelah dipenjara di Thailand atas kesalahan mengugut bekas majikannya mempunyai kaitan dengan 1MDB, yang menjalin kerjasama dalam industri tenaga dari 2009 hingga 2012.

Dakwaan peras ugut itu timbul apabila Justo meminta wang daripada PetroSaudi dan mengugut mendedahkan maklumat diperolehi ketika bekerja dengan syarikat itu.

Dokumen yang dibocorkan Justo selepas meninggalkan PetroSaudi pada 2011 mencetuskan penyiasatan di sekurang-kurangnya 6 negara berhubung dakwaan kecurian aset daripada dana 1MDB.

Pada 15 Mei lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menjangka pertuduhan akan dibuat ke atas Najib, susulan penyiasatan dakwaan bekas perdana menteri itu menyeleweng ratusan juta dolar daripada dana 1MDB.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.