Suspek ke-3 ditembak mati selepas rompakan di pusat beli-belah Damansara

Suspek ke-3 ditembak mati selepas rompakan di pusat beli-belah Damansara

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, suspek berumur 22 tahun itu maut ketika berbalas tembakan di Bukit Beruntung jam 1 pagi tadi.

Free Malaysia Today
Polis percaya lebih 8 suspek terbabit dalam menyamun sebuah kedai emas di pusat beli-belah Atria, semalam. (Gambar Google)
KUALA LUMPUR:
Seorang lagi suspek kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat beli-belah Damansara Jaya, semalam, ditembak mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata lelaki berumur 22 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan Bukit Beruntung jam 1 pagi tadi.

Fadzil berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengejar kereta Honda Civic yang dipandu suspek, sebelum kenderaan itu terbabas akibat terlanggar pokok.

“Suspek keluar dari kenderaan tersebut dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota.

“Pasukan polis membalas beberapa das tembakan ke arah suspek dan suspek berjaya ditumpaskan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol revolver berisi 3 butir peluru serta 2 kelongsong dan beberapa bentuk barang kemas dari kedai emas yang dirompak.

“Suspek mempunyai 2 rekod jenayah dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, 6 suspek memakai topi keledar visor hitam menyerbu kedai emas di pusat beli-belah di Damansara Jaya, dengan bersenjatakan 3 pucuk pistol untuk menyamun.

Polis menembak mati 2 suspek ketika cuba melarikan diri, manakala 4 suspek berjaya ditahan.

Polis percaya lebih daripada 8 suspek terlibat dalam kejadian itu.

Polis tembak mati 2 suspek di pusat beli-belah Damansara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.