Rosmah: Henti bocor gambar serbuan di media sosial

Rosmah: Henti bocor gambar serbuan di media sosial

Isteri bekas perdana menteri berkata, agensi penguatkuasaan sepatutnya bertindak secara profesional setiap masa dan tidak membocorkan maklumat untuk disebarkan di media sosial.

PETALING JAYA:
Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak berkuasa mematuhi undang-undang dengan tidak membocorkan senarai dan gambar barang yang didakwa dirampas di beberapa premis milik keluarganya.

Rosmah melalui peguamnya mengeluarkan satu kenyataan, reaksi pertamanya selepas pihak berkuasa memulakan siasatan ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pengubahan wang dan rasuah.

Isteri bekas perdana menteri itu tidak berpuas hati senarai barang yang didakwa dirampas polis, tersebar di media sosial.

“Kami berharap pihak berkuasa akan mematuhi undang-undang dan proses sewajarnya untuk mengelakkan penghakiman pramatang oleh masyarakat awam.”

Katanya, agensi penguatkuasaan sepatutnya bertindak secara profesional setiap masa dan tidak membocorkan maklumat untuk disebarkan di media sosial.

Rosmah berkata, beliau dan keluarganya akan terus memberi kerjasama untuk membantu siasatan pihak berkuasa, walaupun berdepan masa sukar sekarang.

Polis menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga dirampas.

Sejak itu, gambar dan senarai didakwa barang rampasan polis di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur tersebar di media sosial, menunjukkan kandungan sesetengah kotak yang dirampas.

Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB.

5 lori, 284 kotak beg tangan, 72 beg wang tunai, dan 1 peti besi belum buka

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.