Petisyen capai sasaran, pengkritik bimbang kecenderungan Salafi menteri

Petisyen capai sasaran, pengkritik bimbang kecenderungan Salafi menteri

Lebih 40,000 orang menandatangani petisyen mendesak Dr Mahathir memegang portfolio pendidikan, beberapa jam selepas beliau menamakan Maszlee Malik untuk jawatan itu.

Free Malaysia Today
Satu petisyen supaya Dr Mahathir kembali menjadi menteri pendidikan, mencapai sasarannya kurang 24 jam selepas dilancarkan.
PETALING JAYA:
Penamaan bekas ahli akademik sebagai menteri pendidikan baru tidak diterima baik pengkritik dan aktivis hak asasi, dengan ramai daripada mereka bimbang kecenderungan fahaman Salafinya, versi Islam sama diamalkan di Arab Saudi yang menjadi inspirasi kepada penggubalan beberapa undang-undang kontroversi.

Pengkritik juga menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan lampau Maszlee Malik terhadap orang Islam bukan Sunni, sejajar pendirian pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.

Ada yang kecewa dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan portfolio pendidikan itu.

Satu petisyen atas talian yang dilancarkan petang semalam antara lain menyatakan Dr Mahathir ialah calon terbaik untuk jawatan itu kerana beliau akan “membawa reformasi yang sangat diperlukan kepada sisitem pendidikan di negara ini”.

Dalam tempoh kurang 24 jam, petisyen di change.org itu mencapai sasaran 50,000 tandatangan, dengan lebih 40,000 orang menandatanganinya setakat 1 tengah hari tadi.

Dr Mahathir pada mulanya menamakan diri sebagai menteri pendidikan, tetapi dikritik melanggar janji Pakatan Harapan untuk perdana menteri tidak memegang portfolio lain.

“Saya tidak boleh langgar (janji) pada waktu ini, melainkan ada permintaan untuk saya pegang portfolio pendidikan,” katanya semalam ketika mengumumkan Maszlee sebagai penggantinya.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, Maszlee memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Liang Teck Meng.

Tetapi, timbul kebimbangan Maszlee, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa sebelum menyertai PPBM Mac lalu, berucap menyokong pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang dikehendaki di India atas dakwaan pengubahan wang dan ekstremisme.

Zakir yang terkenal dengan syarahan kritikal terhadap agama Hindu dan Kristian, diberikan taraf pemastautin tetap oleh kerajaan BN, menyebabkan kumpulan bukan Islam menyuarakan bantahan kerana menganggap kehadirannya di negara ini mengancam keharmonian agama.

Namun, Zakir mendapat sokongan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang rapat dengan Maszlee.

Free Malaysia Today
Maszlee Malik (kanan) dalam gambar diambil pada 2014 dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) and Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin. (Gambar Facebook)

Rapat dengan mufti Perlis

Maszlee merupakan anggota Majlis Fatwa Perlis sewaktu Asri dilantik ke jawatan itu kira-kira 10 tahun lalu.

Asri dan Jabatan Mufti Perlis di bawah penelitian panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat, selepas isterinya mendakwa mufti itu mengganggu keluarga mereka mengikuti ajaran Syiah, yang dikecam Asri sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

“Selepas mendengar ucapan Maszlee Malik, golongan liberal perlu melihat beliau di sebalik senyuman dan perwatakan zahirnya. Beliau rakan rapat mufti Perlis, seorang yang bersikap keras, tetapi berpura-pura ‘sederhana’,” tulis aktivis, Sheryll Stothard yang kini membantu keluarga Amri dalam siasatan awam Suhakam di Facebooknya.

Peguam lantang, Siti Kasim, yang terlibat dalam siasatan awam Suhakam, lebih terbuka dan menyifatkan Maszlee umat Islam yang tidak bertoleransi, tetapi menonjolkan dirinya sebagai “terbuka dan bersikap memahami”.

“Pendiriannya bukanlah penerimaan, tetapi toleransi. Mungkin itu memadai bagi sesetengah orang, tetapi apabila bercakap tentang toleransi terhadap kejahatan perlu dan mereka merujuk kepada komuniti tersisih dan bukan Islam. Itu perlu dibezakan.

“Beliau menganggap orang Islam seperti saya sebagai sesat,” tulisnya di Facebook.

FMT gagal menghubungi Maszlee untuk mendapatkan responsnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.