Tahniah Dr M, kata duta Perancis dalam bahasa Melayu

Tahniah Dr M, kata duta Perancis dalam bahasa Melayu

Frederic Laplanche turut menyifatkan pembebasan dan pengampunan yang diberikan kepada Anwar Ibrahim sebagai pencapaian hak asasi manusia.

Free Malaysia Today
Frederic Laplanche berkata, Perancis sedia bekerjasama dengan kerajaan PH dalam semua bidang.
PETALING JAYA:
Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche menunjukkan kebolehannya berbahasa Melayu dengan mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai perdana menteri ke-7 dan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada warganegara Malaysia atas perubahan dengan pilihan raya umum ke-14 dan tahniah kepada Tun Dr Mahathir di atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia.

“Kami berasa gembira untuk menyaksikan proses demokrasi di Malaysia dijalankan dengan lancar dan aman.

“Perancis bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan baru dalam semua bidang,” katanya dengan lancar selepas beberapa percubaan dalam rakaman video yang dimuat naik ke Facebook France in Malaysia.

Beliau turut menyifatkan pembebasan dan pengampunan yang diberikan kepada Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pencapaian hak asasi manusia.

PH yang dianggotai 4 parti diketuai Dr Mahathir memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada 9 Mei lalu, menewaskan Barisan Nasional dengan 79 kerusi dan PAS 18 kerusi.

PH turut menang di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, manakala Parti Warisan Sabah dan sekutu PH di Sabah menang di negeri itu.

Pahang, Perlis dan Sarawak kekal di tangan BN, sementara Kelantan dan Terengganu dimenangi PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.