
Bagaimanapun, Datuk Harpal Singh Grewal ditemui sejurus keluar dari rumah Najib pada 4.20 pagi tadi berkata, tiada sebarang dokumen diambil.
Beliau berkata pihaknya percaya barangan itu diambil bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Menurutnya, Najib dan anggota keluarga beliau memberi kerjasama sepanjang proses pencarian dilaksanakan dan tiada tangkapan dibuat.
Setakat pagi tadi, anggota polis masih berada di lokasi.
Lebih 10 kenderaan polis termasuk trak tiba di kediaman Najib pada kira-kira 10.15 malam tadi selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru.
Harpal turut memaklumkan sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan turut menjadi lokasi carian polis.
Polis dilihat membawa keluar beberapa barangan dan kotak yang tidak diketahui kandungannya dalam operasi yang berakhir sekitar 3 pagi.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara.
Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).