
Aira Azhari, penyelaras Unit Demokrasi dan Tadbir Urus di Ideas dalam kenyataan berkata, pihaknya bersetuju dengan majlis itu bahawa tanpa reformasi institusi, reformasi ekonomi yang berlaku tidak akan membawa perubahan bermakna.
Ideas mencadangkan 5 aspek reformasi yang harus dikaji oleh jawatankuasa itu:
- Mengasingkan pejabat peguam negara dan pendakwa raya;
- Mengasingkan perkhidmatan undang-undang dan kehakiman bagi mengelakkan percanggahan kepentingan berhubung perbicaraan kes;
- Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC);
- Memperkasakan Parlimen menerusi bajet yang diperuntukkan, penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen dan perakuan rasmi untuk pembangkang; dan
- Memperkukuhkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami gembira kerajaan baru memperakui reformasi institusi yang perlu disegerakan untuk masa depan Malaysia. Kami syorkan jawatankuasa mengkaji 5 aspek reformasi ini secara serius, yang mana disokong oleh Ideas sejak sekian lama,” kata Aira.
“Dari segi reformasi peguam negara dan SPRM, Ideas telah mengeluarkan kertas dasar dan memorandum. Kami juga sudah menerbitkan kertas dasar berkenaan pengagihan kuasa pusat polis dan sudah bercakap di beberapa persidangan di mana kami menyokong reformasi Parlimen.”
Aira optimistik tentang masa depan Malaysia kerana reformasi institusi dan ekonomi diutamakan kerajaan baru.
“Mengambil kira reformasi ini yang harus disegerakan, kami harap ia akan direalisasi dalam 100 hari pentadbiran kerajaan baru ini,” tambah Aira.
Ideas juga memuji pelantikan “individu yang berkelayakan dan dihormati” untuk menganggotai jawatankuasa itu.
Mereka yang dilantik untuk mengesyorkan langkah-langkah reformasi institusi adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk Ambiga Sreenevasan, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk KC Vohrah dan Datuk Mah Weng Kwai, dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.
Majlis Penasihat Kerajaan tubuh jawatankuasa baharui institusi