
Anwar berkata dia diberi pengampunan penuh bukan kerana dia melakukan jenayah tetapi berlakunya salah laksana keadilan.
“Saya nak jelaskan 1 perkara tentang kebebasan ini, iaitu kita tidak memohon keampunan kerana kesalahan disabitkan. Kita tuntut kebebasan kerana fitnah dan salah guna kuasa serta apa yang disebut sebagai perjalanan yang bercanggah dengan prinsip keadilan.
Anwar menjelaskan prinsip itulah yg diterima Agong untuk membebaskan beliau dan membersihkan semua rekodnya.
“Saya telah dibersihkan daripada semua rekod kesalahan sebelum ini. Tidak sia-sia perjuangan saya selama 20 tahun menanggung derita dan sengsara,” katanya.
Anwar dibebaskan pagi tadi dari Hospital Rehabilitasi Cheras, selepas menjalani hukuman penjara selama 1,557 hari atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Beliau kemudian bertemu Agong di Istana Negara. Anwar berkata perjalanan “dari penjara ke istana” hanya boleh berlaku kerana sokongan rakyat.
Dia menghargai kebebasan ini, dan berkata ada pengajaran daripada hidup di dalam penjara.
“Iaitu nilai kebebasan. Kita tidak boleh biarkan orang lain mengalami persendaan keadilan yang sama. Ini tanggungjawab kita, terutama dalam Pakatan Harapan, untuk menghentikan perkara ini,” katanya.
Anwar juga berkata dia tidak menaruh dendam terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun mengulangi pendirian yang dia dipenjarakan atas alasan politik.
Ketua umum PKR itu secara peribadi memaafkan Najib tetapi kesalahan dan dakwaan terhadap Najib akan ditentukan undang-undang.
“Saya tidak mahu isu saya dikurung menjadi satu isu untuk menentangnya. Saya tiada niat jahat terhadap Najib atau mana-mana individu. Saya mahu terus melangkah ke depan,” katanya.