
Beliau berkata antara sebab utamanya adalah peralihan kuasa kepada kerajaan Pakatan Harapan terlaksana secara lancar dan aman, asas ekonomi negara yang kukuh serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya.
Katanya, ini termasuklah penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai tokoh ternama iaitu bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.
“Semalam merupakan hari pertama pasaran kewangan dibuka selepas ditutup selama 3 hari berikutan pilihan raya umum ke-14.
“Ramai pelabur yang gusar mengharungi hari pertama pasaran. Namun, Alhamdulillah ia tidak seteruk yang dijangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Wahid berkata di Bursa Malaysia, indeks FBM KLCI ditutup 3.91 mata lebih tinggi kepada 1,850.42 selepas turun ke paras terendah 1,800 mata pada awal pagi.
“Di pasaran mata wang, ringgit kembali ke paras 3.95 berbanding dolar US selepas turun ke paras 3.99 pada awal pagi. Di pasaran bon pula, kadar pulangan sekuriti hutang kerajaan Malaysia dengan tempoh matang 5 tahun meningkat sedikit kepada 3.8655% berbanding 3.8283% pada 8 Mei lepas,” katanya.
Beliau berkata hari ini hari ke-2 pasaran dibuka dan dijangka ketidaktentuan pasaran saham akan terus berlaku.
“Memang banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam pengurusan kewangan dan fiskal kerajaan. Namun, saya percaya ahli-ahli Majlis Penasihat yang berwibawa akan dapat mengatasi cabaran tersebut.
“InsyaAllah, berdasarkan keyakinan yang disebut di atas, segala ketidaktentuan pasaran dapat dilalui dengan tenang dan teratur,” katanya.
Abdul Wahid juga berkata Malaysia melakar sejarah apabila peralihan kuasa kerajaan berjalan secara demokratik dengan aman dan lancar.
“Tiada keganasan, tiada huru-hara dan tiada perisytiharan darurat. Tiada kehadiran tentera di jalan raya. Ramai rakan-rakan dari luar negara mengagumi apa yang dicapai oleh Malaysia. ‘Malaysia is a showcase of democracy in action’,” katanya.