
“Insya Allah beliau kekal, tunggu keputusan perlantikan esok,” kata sumber itu, yang tidak mahu dinamakan kerana tidak mahu mendahului pengumuman oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberitahu FMT bahawa 10 exco kerajaan negeri akan diumum dan dilantik esok.
Pelantikan ini dibuat selepas nama calon mendapat persetujuan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Insya Allah, esok exco akan mengangkat sumpah,” katanya.
FMT difahamkan 4 muka baru akan ditampilkan dalam barisan exco penggal baharu ini.
Majlis angkat sumpah akan dilakukan di depan pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan disaksikan oleh Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.
Pada pilihan raya umum ke-14, PAS memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan. PAS memerintah negeri itu sejak 1990.