Apandi masuk kerja seperti biasa

Apandi masuk kerja seperti biasa

Kemunculan peguam negara di pejabatnya di Putrajaya hari ini di sebalik ketidaktentuan jawatan beliau.

Free Malaysia Today
Apandi Ali merupakan antara sasaran utama Dr Mahathir Mohamad dalam ceramahnya sebelum pilihan raya umum yang baru tamat. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali hari ini hadir bertugas seperti biasa di Pejabat Peguam Negara di sini, pada hari pertama kerja selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) Rabu lepas.

Kemunculan Apandi di pejabatnya pada 8.30 pagi tadi berlaku di sebalik tekanan terhadap beliau mengenai jawatan yang dipegangnya, berikutan petanda jelas menerusi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau akan disingkir.

Apandi sering menjadi sasaran Dr Mahathir semasa berkempen dalam pilihan raya umum lepas, di mana beliau dituduh menutup kebenaran dalam isu 1MDB.

Pada 2015, bekas hakim itu berkata tidak terdapat kes terhadap Datuk Seri Najib Razak, berikutan dakwaan wang berjumlah beberapa bilion ringgit dipindahkan ke akaun peribadi bekas presiden Umno tersebut.

Bulan lepas, kontrak perkhidmatan Apandi disambung untuk tempoh 3 tahun lagi.

Namun begitu, lanjutan kemenangan mengejut Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya minggu lepas, Dr Mahathir membayangkan pemecatan jawatan beberapa orang, termasuk Apandi.

Dr Mahathir berkata, Apandi dan bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan disiasat berkaitan peranan mereka dalam penyiasatan 1MDB yang gagal.

“Jika dia (Apandi) menyembunyikan bukti itu salah laku. Itu salah di sisi undang-undang,” katanya hujung minggu lalu.

Semalam, Apandi memberitahu FMT, beliau memerlukan masa untuk berbincang dengan peguam kanan termasuk dari United Kingdonm, berhubung kedudukannya sebagai peguam negara.

Apandi nafi agenda rahsia, sembunyi bukti 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.