
Semalam Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar walaupun PH tidak mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Pelantikan dibuat selepas 2 Adun BN memaklumkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bahawa mereka menyokong Ahmad bagi membantu mewujudkan kestabilan di Perak.
Zainol Fadzi Paharuddin, anggota exco kerajaan negeri sebelum ini berkata, beliau dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi tidak melompat parti.
“Saya menghadap Sultan untuk memaklumkan kepada baginda bahawa saya menyokong Adun Chenderiang, Ahmad Faizal, sebagai calon menteri besar. Itulah perisytiharan yang saya tanda tangani,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Zainol terpilih sebagai Adun Sungai Manik untuk penggal ke-3 dalam pilihan raya umum minggu lepas.
Katanya beliau tidak diugut atau dipengaruhi dengan apa-apa juga cara supaya membuat keputusan itu, tetapi membuatnya secara sukarela.
Dalam catatan laman Facebook beliau, Nolee berkata, kepentingan rakyat dan kestabilan negeri tidak boleh diabaikan hanya kerana parti politik tidak mempunyai cukup kerusi bagi membentuk kerajaan.
“Menyedari keadaan itu, saya mengambil pendirian bagi memastikan sebuah kerajaan boleh dibentuk mengikut prosedur dengan memberi sokongan kepada seorang calon menteri besar bagi membolehkan proses pembentukan kerajaan berlaku. Ia sangat diperlukan oleh rakyat,” katanya.
Norlee, juga anggota exco kerajaan lepas, menang di DUN Tualang Sekah untuk penggal ke-3.
“Perlu ditegaskan bahawa saya tidak melompat parti dan masih mewakili BN,” tambah beliau. “Saya minta maaf dan bersedia menghadapi serta mematuhi tindakan daripada pemimpin BN,” katanya.
PH memenangi 29 kerusi dalam PRU baru lalu, kurang 1 daripada 30 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti mudah di dewan undangan negeri. Umno dan PAS masing-masing memenangi 27 dan 3 kerusi.
Sokongan Zainol dan Nolee memastikan Ahmad Faizal mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.