Imigresen: Najib, Rosmah disenarai hitam dari keluar negara

Imigresen: Najib, Rosmah disenarai hitam dari keluar negara

Sebelum ini, Najib memohon maaf atas kekurangan dan kesilapan dilakukan dan memaklumkan akan pergi bercuti meluangkan masa dengan keluarga

PETALING JAYA:
Imigresen mengesahkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam dari keluar negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali ketika dihubungi FMT, mengesahkan bekas perdana menteri dan isterinya itu baru sahaja disenarai hitam.

“Jabatan Imigresen Malaysia ingin mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara,” katanya tanpa huraian lanjut.

Sementara itu, Najib di Twitter memberitahu dia sudah dimaklumkan oleh imigresen mengenai larangan itu dan akur kepada keputusan itu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkan saya dan keluarga ke luar negara. Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Najib memohon maaf atas kekurangan dan kesilapan dilakukan dan memaklumkan akan pergi bercuti meluangkan masa dengan keluarga selepas melalui kempen pilihan raya yang pahit.

Ia selepas tersebar desas-desus malam tadi tentang sebuah jet persendirian dijadualkan berlepas ke Indonesia pada pukul 10.00 pagi tadi dengan beliau dan isteri disenaraikan sebagai penumpang.

Laporan media menyebut kapal terbang Legacy 650 itu dimiliki sebuah syarikat Indonesia kepunyaan tokoh perniagaan negara itu yang dikaitkan dengan Najib dan urus niaga Felda. Menurut laman web pengesan penerbangan, kapal terbang itu dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Subang tengah hari semalam.

Ramai petugas media menunggu pelepasan beliau dari Subang sejak 6.00 pagi tadi, 3 hari selepas disingkirkan daripada jawatannya, dan di celah-celah amaran oleh pemimpin Pakatan Harapan yang baru membentuk kerajaan tentang kemungkinan beliau diambil tindakan berikutan penglibatannya dalam skandal kewangan 1MDB.

Najib mohon maaf, pergi ‘bercuti pendek’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.