
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan syarat menteri besar Perak mesti mendapat sokongan majoriti Adun beragama Islam.
“PAS menawarkan kerajaan perpaduan (kerajaan tanpa pembangkang) yang dianggotai oleh semua parti politik (PAS, BN dan PH) dengan syarat kerajaan perpaduan ini dipimpin oleh seorang Islam yang dipersetujui oleh majoriti Adun Islam,” kata Hadi dalam kenyataan hari ini.Hadi menambah “exco kerajaan mestilah majoritinya dari kalangan Adun beragama Islam.”
Beliau mengumumkan keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS yang bersidang hari ini untuk membincangkan perkembangan politik di Perak, yang tergantung selepas tiada mana-mana parti politik memperoleh bilangan kerusi minimum untuk membentuk kerajaan.
Dalam kedudukan sekarang, PH memegang 29 daripada 59 DUN, Barisan Nasional 27 dan PAS 3, selepas keputusan pilihan raya umum ke-14 diumumkan Rabu. Parti politik memerlukan sekurang-kurangnya 30 DUN untuk membentuk kerajaan majoriti mudah.