Selepas Musa angkat sumpah, 2 adun BN jumpa Shafie

Selepas Musa angkat sumpah, 2 adun BN jumpa Shafie

Dua wakil rakyat Umno itu tiba di rumah Shafie untuk berunding, kurang 24 jam selepas Pengerusi BN Sabah, Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Free Malaysia Today
Hamisa Samat (kiri) dan Muis Picho (kanan) meninggalkan dari rumah Shafie.
KOTA KINABALU:
Drama politik di Sabah semakin menarik dengan perubahan berlaku selang beberapa jam dan terbaru ialah pertemuan antara 2 adun Barisan Nasional (BN) dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal, hari ini.

Perkembangan itu berlaku kurang 24 jam sejak Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah, malam tadi.

Datuk Muis Picho yang menang di kerusi negeri Sebatik dan Datuk Hamisa Samat di kerusi negeri Tanjong Batu, tiba di rumah bekas naib presiden Umno itu kira-kira 12 tengah hari tadi.

Mereka dibawa pembantu melalui halaman belakang dan ke sebuah bilik di mana 2 adun Umno itu dipercayai mengadakan rundingan dengan Shafie.

Kedua-duanya meninggalkan rumah Shafie kira-kira 2.15 petang tadi.

Sementara itu, Shafie berkaya, gabungan Warisan-Pakatan Harapan tidak mengiktiraf penubuhan kerajaan Sabah yang baru.

“Kerajaan baru itu tidak sah kerana mereka tidak mendapat mandat penuh daripada rakyat untuk membentuk kerajaan.”

Beliau turut membiarkan media terus berteka-teki mengenai langkah seterusnya, dengan berkata: “Tunggu dan lihat…sentiasa ada kejutan dalam politik”.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.