
Pengerusi BN Terengganu itu berkata, media turut memainkan peranan dalam mempengaruhi pengundi muda untuk menggulingkan kerajaan BN.
“Kita tengok kekalahan kita (BN) kebanyakannya pada saluran orang muda, iaitu di saluran 3 dan 4.
“Jadi, kita melihat peranan media ini sangat besar, maknanya mempengaruhi generasi baru,” katanya selepas istiadat mengangkat sumpah dan watikah pelantikan menteri besar baru di Istana Syarqiyyah, di sini, malam tadi.
Razif berkata, BN menerima kekalahan itu dan akan melakukan “post-mortem” serta menyusun strategi untuk bangkit semula.
“Paling penting hari ini kita tidak mengalah dan jadikannya satu pengajaran, apa yang perlu hari ini kita akan berusaha dan bekerja dengan kuat bagi mengambil semula serta menebus kekalahan kita.”
Beliau turut menyifatkan kemenangan PAS di Terengganu dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat adalah bukti BN telus.
“Ini perkara biasa yang dinamakan sebagai demokrasi berperlembagaan dan ini juga dapat menangkis ada unsur-unsur tidak betul dalam sistem pilihan raya kita.”
PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi negeri di Terengganu yang membolehkan parti Islam itu membentuk kerajaan negeri.
Kali terakhir PAS mentadbir Terengganu ialah dari 1999 hingga 2004.