Mukhriz kembali jadi MB Kedah

Mukhriz kembali jadi MB Kedah

Timbalan presiden PPBM mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, hari ini.

Free Malaysia Today
Muhriz menerima watikah pelantikan menteri besar daripada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, hari ini.
ALOR SETAR:
Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah buat penggal ke-2, selepas beliau dipaksa berundur daripada jawatan itu 2 tahun lalu.

Beliau mengangkat sumpah di depan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam upacara di Istana Anak Bukit, hari ini.

Sidang media dijangka diadakan selepas upacara angkat sumpah.

Timbalan presiden PPBM itu mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke-14, kelmarin.

Jumlah kerusi negeri yang dimenangi Barisan Nasional berkurangan daripada 20 pada 2013 kepada hanya 3, iaitu Guar Chempedak, Sungai Tiang dan Bandar Baharu.

PH memenangi 18 kerusi dan PAS (15).

Mukhriz menang di kerusi negeri Jitra dan Parlimen Jerlun yang ditandinginya.

Pada PRU13, Mukhriz memenangi kerusi Ayer Hitam atas tiket BN dan dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Januari 2016, kebanyakan ketua bahagian Umno bersama mengisytiharkan mereka hilang keyakian terhadap kepimpinan Mukhriz yang seterusnya menyebabkan pentadbiran negeri itu dibelenggu krisis selama 3 minggu.

Krisis itu berakhir apabila Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri besar dan adun Bakar Bata, Bashah kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Mukhriz kemudian menyertai PPBM yang diketuai bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.