
Pada 1994, Pairin, presiden Parti Bersatu Sabah, dan sekutu terdekatnya, Datu Mustapha Harun, memenangi pilihan raya negeri selepas sengit bertarung dengan Barisan Nasional, yang mendapat sokongan pemimpin persekutuan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerana takutkan pembelotan, Pairin menunggu di luar istana Sabah sebelum keputusan semua kerusi selesai diumumkan. Dia dan Mustapha dipaksa menunggu dalam kereta selama 36 jam, sebelum Pairin mengangkat sumpah.
Tetapi dalam masa beberapa minggu, pengikutnya membelot kepada BN, bermula dengan timbalan presiden PBS, Datuk Seri Lajim Ukin, diikuti pimpinan parti lain termasuk Tan Sri Joseph Kurup dan Tan Sri Bernard Dompok.
Kerana ketiadaan majoriti, Parin terpaksa meletak jawatan, dan Tun Sakaran Dandai dari Umno Sabah menjadi ketua menteri.
Minggu ini, pilihan raya negeri berakhir dengan seri 29 kerusi antara BN dan seterunya, Parti Warisan Sabah dan sekutu Pakatan Harapan.
Malam tadi, Tan Sri Musa Aman dari BN Sabah mengangkat sumpah selepas memperoleh sokongan daripada 2 Adun Parti Solidariti Tanah Airku (Star), memberikan majoriti 2 kerusi kepada BN mengatasi Warisan-PH.
Bagaimanapun, kurang 24 jam kemudian, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan 6 Adun sudah bertukar pihak, memberikan dia sokongan 35 Adun, untuk majoriti mudah.
Shafie, yang terpilih di DUN Senallang, dibenarkan menghadap Yang di-Pertua Tun Juhar Mahiruddin, untuk mengemukakan kesnya yang mahu dilantik sebagai ketua menteri.