Adun Kedah nafi keluar BN untuk bersama PH

Adun Kedah nafi keluar BN untuk bersama PH

Adun Sungai Tiang Suraya Yaacob berkata dia masih setia kepada Umno dan BN 'kini dan selamanya'.

Free Malaysia Today
Gambar tular bekas exco Suraya Yaacob di perbincangan bersama menteri besar ketika itu, Mukhriz.
ALOR SETAR:
Adun Sungai Tiang Suraya Yaacob hari ini menafikan dia sudah meninggalkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Suraya berkata gambar tular memaparkan beliau dalam mesyuarat bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebenarnya diambil pada satu mesyuarat pada 2015, semasa Mukhriz memimpin negeri itu dalam kerajaan BN.

Beliau menambah tiada pertemuan seperti itu selepas pilihan raya umum ke-14.

Mukhriz mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit hari ini.

Dalam satu kiriman Facebok, Suraya berkata BN menerima hakikat gabungan itu tewas dalam pilihan raya.

“Saya tegaskan sekali lagi untuk terus teguh setia bersama Umno dan BN dulu, kini dan selamanya. Tindakan fitnah dan menyebarkan fitnah jelas berdosa besar dari sudut Islam, menyalahi undang-undang, malah tidak berakhlak,” katanya.

Spekulasi kuat mengatakan Suraya bersama seorang lagi wakil rakyat, Norsabrina Mohd Noor, akan bertukar parti ke Pakatan Harapan (PH).

Ini akan membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah 19 kerusi.

PH memegang 18 daripada 36 DUN pada pilihan raya 9 Mei lepas, sementara PAS menang 15 dan BN 3.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.