Pengundi di pedalaman Kedah terjejas dengan kenaikan kos sara hidup

Pengundi di pedalaman Kedah terjejas dengan kenaikan kos sara hidup

Sesetengah rakyat terjejas dengan kenaikan kos sara hidup, ada pula berpendapat kehidupan lebih baik di bawah pentadbiran BN dan kenaikan harga barang tidak menjejaskan kampung mereka.

Free Malaysia Today
Peniaga kain, Mohd Nasrunizam Mohd Nasir.
KUBANG PASU:
Walaupun ramai mengunjungi pasar Asun di Jitra pada hujung minggu, penjual kain, Mohd Nasrunizam Mohd Nasir berkata perniagaannya tidak semestinya baik.

“Perniagaan memang teruk sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan,” katanya.

“Memang barang mahal tetapi untung sikit, terpaksa bayar balik modal. Nak naikkan harga tidak boleh kerana orang di sini tidak berpendapatan tinggi,” katanya kepada FMT semasa ditemui Sabtu lalu.

“Jika di bandar, biasanya perniagaan lebih baik tetapi di kampung, di sini ramai bekerja sendiri dan penoreh getah. Pendapatan mereka tidak tetap,” kata peniaga berusia 29 tahun itu.

Free Malaysia Today
Pasar Asun tidak menjamin jualan yang banyak walaupun ramai pengunjung kerana ramai sedang berjimat.

Nasrunizam, pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Parlimen Jerlun, berkata beliau boleh mendapat kira-kira RM200 untuk kerja separuh hari di pasar, sebelum beliau ke Perlis untuk mencuba nasib.

Terbeban dengan kos tinggi dan peluang perniagaan mencabar, beliau berharap Pakatan Harapan (PH) akan menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya nampak kawasan saya ramai sokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya merujuk calon PH di Jerlun yang juga bekas menteri besar Kedah.

Free Malaysia Today
Buruh, Adaham Ahmad.

Adaham Ahmad dan Zainol Ariffin yang tinggal di Ayer Hitam berkata, kos sara hidup yang semakin meningkat merupakan kebimbangan utama dan GST perlu dimansuhkan.

Mereka mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah nampaknya tidak banyak membantu penduduk setempat dan hanya membantu mereka yang rapat dengannya.

Tetapi, mereka berkata, Mukhriz selalu turun padang ke kawasan itu dan membantu penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada petani dan nelayan.

“Bolehkah Mukhriz menang? Boleh, kalau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak main kotor,” kata Adaham, 50.

“Kalau boleh, saya mahu PH menang semua (kerusi) kerana Barisan Nasional (BN) tidak bantu.

“Contohnya di kampung Siam, kebanyakan sudah beralih dan mereka tidak berapa menyokong Umno dan BN.”

Free Malaysia Today
Pemandu lori, Zainol Ariffin.

Zainol, 47, berkata pengaruh Mukhriz dan bapanya yang juga pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad masih kuat.

“Dr Mahathir datang mana-mana pun, ramai yang pergi. Datuk Seri Najib Razak bawa banyak bas tetapi tidak perlu bawa bas untuk Dr Mahathir kerana hujan pun ramai akan pergi. Kita boleh lihat sendiri.

‘Mengapa perlu selamatkan Malaysia?’

Di Jerai, 2 pengundi berusia 50-an memberitahu FMT mereka berpuas hati dengan penyandang Parlimen itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Free Malaysia Today
Pemandu teksi, Azman.

Pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, Jamil banyak menyumbang kepada pemandu teksi dan pembangunan di kawasan itu.

“Semasa musim raya, beliau akan memberi bantuan kepada NGO.”

Pengundi di Jerai itu berkata beliau akan terus memilih BN kerana berpendapat tiada sebab untuk perubahan.

“Saya memang akan undi orang sama. Mengapa perlukan perubahan? Semua rakyat, Melayu, Cina, dan India, hidup dalam aman dan harmoni,” katanya.

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik. PH menyeru untuk perubahan dalam kerajaan. Tetapi untuk apa? Mengapa perlu selamatkan Malaysia?

“Dan semua rakyat boleh mengamalkan kepercayaan mereka tanpa sekatan.”

Azman berkata, beliau tidak terjejas dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita boleh cari makan. Kita dapat ketenangan minda. Tiada peperangan.”

Free Malaysia Today
Pengusaha padi, Ismail Yahya.

Bagi penanam padi, Ismail Yahya yang berusia 50-an, kehidupan di Jerai baik dan beliau banyak menerima bantuan kerajaan.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat bukan isu bagi saya. Di kampung, kami tidak banyak berbelanja. Mereka yang benar-benar terjejas adalah peniaga.

“Saya hanya menggunakan motosikal untuk bergerak ke sana sini. Minyak hanya RM5,” katanya ketika ditemui di kedai kopi di Guar Chempedak.

Katanya, beliau menerima bantuan kerajaan secara berterusan seperti baja dan tidak pasti jika kerajaan perlu ditukar.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.