
Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Husam boleh menewaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Kota Bharu, jika beliau mampu mendapat sokongan 80% pengundi bukan Melayu di kerusi Parlimen itu.
“Bagaimanapun, kita lihat calon-calon PAS di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah sangat menjaga kebajikan pengundi bukan Melayu di Kota Bharu yang majoritinya berada dalam DUN Kota Lama, mungkin agak sukar Husam menembusi pengaruh Anuar Tan bagi pengundi bukan Melayu.
“Jika Husam berjaya menarik undi Anuar Tan di Kota Bharu, peluang Husam menang mudah, tapi boleh saya simpulkan sekarang ini, kelebihan masih kepada PAS lagi sebab pengundi bukan Melayu dijaga sangat baik oleh Anuar Tan untuk membantu kekal Takiyuddin di Parlimen,” katanya kepada FMT.
Pada 2013, Takiyuddin memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dengan kelebihan 15,970 undi menewaskan calon BN, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Esok, Husam akan bersaing dengan Takiyuddin dan calon muda dari BN, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi
Husam mungkin hilang DUN Salor
Di Salor pula, Kamarul berkata, Husam yang juga bekas exco Kelantan itu mungkin gagal mempertahankan kerusi negeri itu.
“Bila saya jumpa tahun lepas, beliau akui sukar menang di Salor.”
Kamarul berkata, peluang bekas naib presiden PAS itu lebih cerah di DUN Bunut Payong di bawah Parlimen Kota Bharu berbanding di Salor yang mempunyai ramai penyokong tegar PAS.
“Saya ingat dia bertanding DUN Bunut Payong peluang terbuka di sana, tapi kalau Salor sukar nak menang.”
Pada 2013, Husam menewaskan calon BN, Mohd Noordin Awang di Salor dengan majoriti 3,683 undi.