
“Saya berani katakan ini adalah mainan politik (kerajaan BN). RUU 355 dibentang dan ditangguh 3, 4 kali. Kenapa RUU 355 sehingga hari ini yang bukan hudud pun tertangguh begitu lama,” kata Pengerusi Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada sidang media di ibu pejabat PH Terengganu di Kuala Terengganu.
Kamarul mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman semalam yang mendedahkan pentadbiran kerajaan negeri itu kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud. Sebelum ini, beberapa ahli politik dan pakar berkata Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud.
“Kenapa sekarang baru nak cakap pasal hudud? Kenapa RUU tertangguh? Sekarang ini kalau nak buat sesuatu buatlah benda yang lebih mudah di laksanakan kemudian barulah pergi ke peringkat yang lebih serius dan mencabar,” kata Raja Kamarul.
RUU 355 yang dicadangkan Hadi mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada denda RM100,000, 10 tahun penjara dan 100 kali sebatan rotan.
“Tak perlu kita bermain politik. Agama ini perkara yang perlu ditangani dengan keikhlasan dan janganlah bermusim, ” tambah Raja Kamarul.