Ku Li ‘lewat bangkit’, kami tak perlukan dia, kata pimpinan Umno Kelantan

Ku Li ‘lewat bangkit’, kami tak perlukan dia, kata pimpinan Umno Kelantan

Ku Li sepatutnya dari awal membantu Tok Pa memberi penerangan kepada rakyat bukannya turun padang disaat getir.

Free Malaysia Today
Nozula meramalkan BN akan kehilangan 1 kerusi DUN di Parlimen Gua Musang. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Pimpinan Umno Kelantan hari ini secara terbuka mengatakan mereka tidak perlukan penyandang Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, kerana tokoh Kelantan itu “lewat bangkit” dan berkempen untuk Barisan Nasional.

Penyandang DUN Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata kelewatan Tengku Razaleigh membantu BN Kelantan menyukarkan peluang parti itu menumbangkan PAS di kubu kuat parti Islam itu.

“Umno Kelantan tidak perlu Tengku Razaleigh. Di saat getir ini, sepatutnya Tengku Razaleigh bangkit awal mencari kemenangan untuk Umno Kelantan tapi dekat pilihan raya baru dia bersungguh nak bantu BN.

“Sepatutnya dari awal tahun lagi beliau bersama Datuk Seri Mustapha Mohamed menggunakan aura beliau untuk Kelantan. Apabila lewat rakyat pun tak nak dengar apa yang BN nak cakap. Masa sudah suntuk,” katanya.

Beliau meramalkan BN akan kehilangan 1 kerusi DUN di Parlimen Gua Musang.

Wakil rakyat selama 28 tahun itu berkata pimpinan BN sepatutnya bergerak dan bekerja lebih awal, bukan mengharapkan Mustapha seorang. Mustapha adalah ketua Umno Kelantan.

“Mustapha sahaja bertungkus lumus tapi peringkat bahagian tak agresif. Mereka patut belajar daripada pengalaman dan mengubah Umno untuk pilihan raya umum ke-15,” katanya.

Selain itu, Nozula mendedahkan kekurangan peruntukan kewangan sudah membantutkan gerak kerja parti dan calon.

“Dalam keadaan sekarang masih lagi sukar rampas Kelantan dari PAS kecuali berlaku keajaiban,” katanya.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan (PH). Pada pilihanraya lepas PAS menang 32 kerusi DUN, BN 12 dan PKR 1, sementara di peringkat Parlimen, PAS menang 9 kerusi dan BN 5.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.