Calon PAS Ketereh dakwa ‘laporan’ tak bayar nafkah konspirasi politik

Calon PAS Ketereh dakwa ‘laporan’ tak bayar nafkah konspirasi politik

Wan Ismail Wan Jusoh, turut menafikan menerima apa-apa notis hadir di mahkamah syariah.

Free Malaysia Today
Wan Ismail (tengah) berkata beliau sudah membayar RM78,119.00 sebagai nafkah sehingga 1 Mac tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon PAS bagi kerusi Parlimen Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh berkata wujud konspirasi politik untuk menjatuhkan imej dan reputasi beliau selaku seorang calon dalam pilihan raya umum pada 9 Mei depan, selepas tuduhan beliau gagal membayar nafkah anak.

Wan Ismail mempertikaikan laporan mengatakan Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau atas dakwaan gagal membayar tunggakan nafkah 2 anaknya berjumlah RM78,000 sejak 2011.

“Saya dan peguam tidak diserahkan apa-apa notis untuk hadir di mahkamah hari ini (6 Mei), sama ada oleh peguam penuntut atau mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Wan Ismail berkata pada Januari tahun ini, kedua-dua pihak bersetuju di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Kota Bahru untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan semua dokumen termasuk buku akaun bank diserahkan kepada peguam penuntut.

Katanya, berikutan keputusan Mahkamah Syariah Kota Bharu pada 2011 yang menghendaki beliau membayar nafkah RM500 sebulan untuk dua anak kandungnya, Wan Ahmad Firdaus dan Wan Nor Salwa, beliau telah membuat deposit ke dalam akaun Tabung Haji dan dan Public Bank atas nama dua anaknya itu berjumlah keseluruhan RM78,119.00 sehingga 1 Mac tahun ini.

“Saya masih belum menerima sebarang waran tangkap seperti disiarkan oleh Berita Harian Online,” katanya.

Wan Ismail bertanding di Ketereh melawan Tan Sri Annuar Musa dari Barisan Nasional dan Radzi Jidin mewakili Pakatan Harapan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.