BN: Hadir ceramah PH, Rais perlekeh penyokong Jelebu

BN: Hadir ceramah PH, Rais perlekeh penyokong Jelebu

Calon BN Jalaluddin Alias berkata tindakan Rais memperlekehkan pengundi yang pernah mengangkat beliau menjadi pemimpin dan wakil rakyat mereka.

JELEBU:
Calon Barisan Nasional Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias tanpa menyebut nama berkata kehadiran bekas menteri Tan Sri Rais Yatim di ceramah Pakatan Harapan memperlekehkan pengundi di sana.

“Kita dilanda dugaan dan cabaran, malam tadi sudah mula kita diganggu oleh orang yang kita bagi pangkat dan darjat. Orang yang kita naikkan sebagai pemimpin, melalui akar umbi kerana tuan puan sebagai pejuang BN, bagi tempat kepada orang itu untuk menjadi orang besar, malam tadi berada di platform pembangkang, berada di pentas DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Sambutan Hari Wanita DUN Klawang di dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yul Hwa, Kuala Klawang hari ini.

Semalam, Rais yang sedang disiasat Umno hadir dalam ceramah anjuran PH Negeri Sembilan di Pekan Titi, Jelebu. Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Rais berdepan tindakan sekiranya beliau naik ke pentas pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam Umno. Rais turut menyatakan beliau akan berkempen untuk PH di Jelebu dan Negeri Sembilan.

Jalaluddin turut melahirkan keyakinan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa BN akan menang di Parlimen dan DUN kawasan berkenaan.

“Orang Jelebu akan mempunyai pendirian yang teguh dan kuat untuk bagi BN sekali lagi menang melalui Parlimen Jelebu, DUN Klawang, Pertang dan Lui,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) parlimen Jelebu yang lalu, Datuk Zainuddin Ismail dari BN memperoleh 22,114 undi mengalahkan Raj Munni Sabu daripada PAS yang memperoleh 15,013 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.