Syamsul Debat mudah dekati pengundi kerana identiti personaliti TV

Syamsul Debat mudah dekati pengundi kerana identiti personaliti TV

Calon BN di DUN Sikamat itu berkata, masyarakat seronok menemuinya dan ingin tahu lebih banyak mengenai dirinya.

Free Malaysia Today
Syamsul (baju putih) berkata, semua calon berpeluang memenangi kerusi negeri Sikamat, walaupun berdepan penyandang daripada PKR, Aminuddin Harun.
SEREMBAN:
Calon Barisan Nasional (BN) di Sikamat, Syamsul Amri Ismail berkata, identitinya sebagai personaliti program motivasi dan keagamaan menjadi faktor penarik pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, faktor itu juga memudahkan beliau mendekati masyarakat setempat melalui kempennya.

Beliau yang pertama kali bertanding berkata, masyarakat seronok menemuinya dan ingin tahu lebih banyak mengenai dirinya.

“Bila saya jumpa dengan orang itu, dia kata tak payah, dia dah kenal. (Cuma) dia nak tahu lebih dalam tentang saya sebab bila kita keluar televisyen ini, masyarakat menganggap kita ini dia punya.

“Jadi, dia nak tahu duduk mana, berasal dari mana, dia nak tahu itu sahaja,” kata lulusan ijazah sarjana muda undang-undang itu kepada FMT.

Pemuda berusia 41 tahun itu berkata, perwatakannya masih sama seperti dahulu, walaupun kini ialah calon BN.

“Jadi saya teruskanlah, tak adalah saya nak ubah apapun. Tak adalah tiba-tiba jadi serius undilah saya, tak ada.”

Syamsul yang dilahirkan di Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan berkata, kebanyakan penduduk Sikamat tidak tahu beliau sudah 10 tahun tinggal di sana.

“Ada yang tak jangkalah. Ada yang tahu-tahu sebab saya lebih kurang 10 tahun dah duduk di Sikamat ini, cuma kita tahulah ceramah satu Malaysia jadi mereka rasa seronok, macam mimpi jadi kenyataan. Depan mata dah hari ini, tinggi rupanya,” selorohnya.

Mengulas saingan 4 penjuru di DUN Sikamat, Syamsul berkata, semua calon berpeluang memenangi kerusi itu, walaupun berdepan penyandang kerusi itu daripada PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

“Pada saya, itulah tengok siapa lebih baik, siapa yang lebih meyakinkan masyarakat. Maknanya dari segi peluang itu, insya Allah semua orang ada peluang. Malahan, sebagai penyandang, dia (Aminuddin) pun rasa ada peluang sebab dia dah 2 penggal di sini, dia rasa dia ada kelebihan.

“Saya pula sebagai orang yang mencabar tahun ini pun rasa ada peluang sebab saya dengan sokongan masyarakat sekeliling, begitu juga PAS rasa dia ada peluang sebab dia ada pengikut dia yang tertentu di kawasan-kawasan tertentu.”

Selain Aminuddin, Syamsul akan berdepan calon PAS, Rahim Yusof dan calon bebas, Bujang Abu.

Katanya, jika diberikan mandat, beliau akan meneruskan ceramahnya.

“Cuma mungkin disusun dengan baik. Tak adalah banyak macam dulu. Dulu pagi, petang, malam berceramah.

“Jadi, kita akan kawallah sebab kita dah ada tanggungjawab lain. Kuliah subuh saya di surau-surau di Sikamat, Seremban ini kekal…mungkin kuliah maghrib kekal.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.