PRU14: Pengundi ‘kaya’ di KL mahu apa?

PRU14: Pengundi ‘kaya’ di KL mahu apa?

Penghuni di ibu kota mahu DBKL dengar keluhan mereka, keselamatan lebih baik dan taman rekreasi yang dijaga rapi

Free Malaysia Today
Penduduk mendakwa DBKL tidak mematuhi garis panduan kepadatan ketika meluluskan projek bangunan tinggi di ibu kota.
KUALA LUMPUR:
Di kebanyakan kawasan dalam negara ini, terutamanya di kawasan luar bandar, kebimbangan utama rakyat ialah kenaikan kos sara hidup.

Berpandukan isu ini, semua parti politik menjanjikan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah berkenaan – daripada penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular kepada kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM1,200 kepada RM2,000.

Tetapi, apa yang dikehendaki pengundi dianggap masyarakat sebagai “memiliki segala-galanya”?

Bagi Mohd Shukri Zain, paling penting baginya ialah keselamatan dan taraf hidup lebih baik.

Free Malaysia Today
Mohd Shukri Zain berkata, keluhan yang dikemukakan kepada DBKL tidak mendapat respons.

Peniaga berusia 53 tahun itu berkata, di kawasan Sri Hartamas, pembangunan berlebihan adalah isu penting berikutan aduan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan gagal mendapat respons.

“Permintaan kami kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukanlah tidak munasabah. DBKL tak pernah memberi respons dan lebih suka terus melaksanakan kehendaknya, tanpa mengambil kira nisbah plot dan garis panduan kepadatan,” katanya kepada FMT dalam majlis pertemuan dengan calon BN di Parlimen Segambut, Datuk Loga Bala Mohan.

“Kami hanya minta DBKL patuhi nisbah plot dan garis panduan kepadatan.”

Beliau berkata, isu pembangunan berlebihan menyebabkan kesesakan lalu lintas serius dan masalah parkir kenderaan di kawasan itu.

Suri rumah, Ling Wei Lin mahu seorang wakil rakyat yang berani memperjuangkan isu rasuah dan ketelusan.

“Saya juga mahu wakil yang mudah didekati dan kerap turun padang.

“Lim Lip Eng merupakan ahli Parlimen di sini selama 2 penggal, tetapi dia tak pernah datang ke sini bertemu penduduk.

“Saya tidak nampak kenapa seorang wakil rakyat tidak boleh lantang dan pada masa sama mudah didekati.”

Beliau berkata, isu keselamatan juga sangat penting, walaupun kejadian pecah rumah dan kecurian semakin berkurangan di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ling berkata, penghuni tidak sepatutnya membayar untuk perlindungan keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab pihak berkuasa.

Beliau yang membayar RM100 sebulan untuk perkhidmatan kawalan keselamatan kejiranan, berang dengan jiran tetangga yang enggan membayar.

“Hanya 65% yang bayar, tetapi perkhidmatannya dinikmati semua,” katanya.

Pesara, Rosman Omar mahu wakil rakyatnya memastikan taman rekreasi itu dijaga rapi.

Beliau juga mahu ahli Parlimen kawasan itu membantu menyelesaikan isu hak milik strata yang telah lama dihadapi 360 pemilik rumah di Taman Sri Hartamas.

“Pemaju, Seri Hartamas Corporation sepatutnya menyelesaikan masalah ini, tetapi sudah bankrap. Jadi semua hak milik strata itu kini berada di Jabatan Insolvensi,” katanya sambil menambah keadaan itu menyukarkan pemilik menjual rumah mereka.

Pada 9 Mei ini, Mohan menghadapi saingan daripada calon DAP, Hannah Yeoh dan Mohd Solleh Abd Razak yang mewakili PAS.

Bekas Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berpindah ke kerusi Parlimen Kepong.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.