Penduduk Simpang Renggam mahu perubahan kerana kurang pembangunan, kerja

Penduduk Simpang Renggam mahu perubahan kerana kurang pembangunan, kerja

Penduduk merungut masalah pengangguran disebabkan kekurangan pembangunan dan peluang pekerjaan, selain gangguan bekalan air dan isu 1MDB.

Free Malaysia Today
Antara penyokong PH yang menghadiri ceramah umum gabungan pembangkang itu di Simpang Renggam.
SIMPANG RENGGAM:
Penduduk Simpang Renggam bersedia menghadapi perubahan dengan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) disebabkan isu tempatan dan nasional yang membelenggu mereka.
Hazwan Abdullah membangkitkan gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Simpang Renggam.

Anak tempatan yang bekerja sebagai pengurus kilang elektrik, Hazwan Abdullah, 52, berkata kekurangan pembangunan dan peluang pekerjaan menyebabkan ramai anak muda menganggur.

“Saya lihat anak saudara saya memang susah nak cari kerja dan kerja lebih masa. Kadang-kadang kita bantu juga, tetapi tidak boleh bantu selalu.

“Kita perlu pembangunan di Simpang Renggam dan membawa masuk pelabur supaya kawasan ini boleh dimajukan,” katanya kepada FMT.

Beliau turut membangkitkan gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Simpang Renggam, walaupun penyandang kerusi Parlimen itu selama 2 penggal, Datuk Liang Teck Meng ialah pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Saya rasa bukan tsunami Melayu lagi, jika pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kita lihat gelombang kaum Cina, kali ini tidak kira Melayu, Cina dan India nak perubahan.”

Liang daripada Gerakan, parti komponen Barisan Nasional menang di Simpang Renggam sejak 10 tahun lalu. Pada 2008, beliau menewaskan calon PAS dengan kelebihan 14,155 undi, tetapi majoriti itu berkurangan kepada 5,706 undi pada 2013.

Simpang Renggam mempunyai kira-kira 57% pengundi Melayu, Cina (33%) dan India (9%).

Seorang penduduk tempatan, Abdullah Mohd Nawawi, 38, mahu kerajaan lebih baik dan isu nasional seperti 1MDB diselesaikan.

“Kita tengok dari segi penguatkuasaan undang-undang, saya lihat tubuh undang-undang baru macam Akta Anti-berita Tidak Benar semata-mata nak menyelamatkan diri,” kata peguam itu.

“Kalau bagi saya memang minat pada calon. Kalau calon itu hebat, itu antara faktor tarikan utama, tetapi kebanyakan orang lebih tertarik kepada parti.”

Pemuda tempatan berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebagai Fauzan mahu sebuah kerajaan yang bersih daripada rasuah.

“Kita nak kerajaan yang bersih daripada rasuah. Mungkin secara geografi ramai (menyokong) kuat pada BN. Belum ambil pembangkang jadi kerajaan tak tahu lagi…tak takut pembangkang ambil alih.”

Pembangkang tidak tahu isu sebenar

Calon BN, Liang Teck Meng memenangi kerusi Simpang Renggam sejak 10 tahun lalu.

Liang yang akan mempertahankan Simpang Renggam buat penggal ke-3 mendakwa lawannya daripada PPBM, Maszlee Malik tidak tahu masalah sebenar di kawasan itu dan tidak mempunyai rancangan untuk menyelesaikan gangguan bekalan air dihadapi penduduk setempat.

“Dia hanya tahu menghasut dan menimbulkan perasaan penduduk tentang air. Bila tanya macam mana nak selesaikan masalah air, dari mana punca pencemaran air dan langkah untuk diambil, semua tidak boleh jawab.

“Sebagai wakil rakyat, kalau isu ini boleh diselesaikan dalam masa singkat, saya pun boleh. Kalau nak cakap sahaja boleh, tetapi perlu ada cadangan realistik,” katanya kepada FMT.

Liang tidak menafikan ada segelintir anak muda yang tidak menyokong BN kerana mereka didakwa tidak mendapat gambaran sebenar.

Katanya, dakwaan tiada pembangunan langsung di Simpang Renggam adalah pembohongan dan rancangan PH membangunkan kawasan itu tidak realistik.

“Banyak perubahan, kita lihat di Simpang Renggam banyak kedai baru. Suruh Maszlee pergi masjid dan surau, tengok apakah sumbangan saya telah buat.

“Kita ada satu masjid yang mempunyai sistem solar. Bukan kecil, sistem solar itu besar dan dapat pulangan RM1,500 sebulan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.