Nik Omar hormat keluarga tak izin Dr M ziarah kubur Nik Aziz

Nik Omar hormat keluarga tak izin Dr M ziarah kubur Nik Aziz

Nik Omar menghormati sensitiviti keluarga.

Free Malaysia Today
Nik Omar ketika berucap pada majlis Tun Mahathir bersama rakyat di Kampung Cherang, Kota Bharu.
KOTA BHARU:
Nik Omar Nik Abdul Aziz menghormati keputusan keluarganya tidak mengizinkan Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi kubur bapanya awal pagi tadi.

“Tidak apa kita rai sensitiviti keluarga, jadi tak apa tidak ada masalah, ambo (saya) rasa Tun Mahathir tidak ada masalah kita rai benda itu, tidak perlu di perbesarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tun Mahathir bersama rakyat di Kampung Cherang Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir membatalkan hasrat menziarahi kubur bekas mursyidul PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana tidak diizinkan keluarga.

Anak ke-3 Nik Aziz, Nik Adli menwakili keluarganya berkata pihaknya mengambil keputusan itu kerana Dr Mahathir ada kepentingan politik dalam PRU14, tetapi mereka berlapang dada membenarkan Dr Mahathir berbuat demikian selepas 9 Mei ini.

“Keluarga dengan rasa rendah hati tidak izin Tun Mahathir datang ziarah, keluarga tidak mahu adanya pertembungan politik dalam keluarga (merujuk tindakan Nik Omar menyertai Amanah).

“Kalau Tun Mahathir nak datang selepas PRU, sebab kita nampak beliau datang ada kepentingan (politik), kita tidak halang, silakan,” kata Nik Adli yang pernah ditahan di bawah ISA pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Dalam ucapannya, Nik Omar berkata, antara sebab beliau memilih PH kerana perjuangan parti lamanya suka menjatuhkan hukum kepada orang lain.

“Saya memilih PH sebab parti lama saya suka menjatuh hukum kepada orang lain sehingga menganggap seseorang itu kafir bila keluar PAS,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mendapat izin ibu untuk bertanding sebagai calon PH, beliau tetap akan meneruskan perjuangan bersama PH.

“Apabila masuk gelanggang, kita tak undur dah. Ramai mungkin cerca, setakat ini tidak beri kesan kepada saya.

“Sebagaimana orang bukan Islam hormat pada mak, ayah dia, maka kita sebagai anak, tetap sayang kepada mak dan mendoakan mak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.