Sanjeevan bebas tuduhan ugut anak pesuruhjaya polis

Sanjeevan bebas tuduhan ugut anak pesuruhjaya polis

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman buat keputusan itu selepas dapati pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan pada akhir kes pendakwaan.

KUALA LUMPUR:
Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan dilepas dan dibebas tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang anak bekas pesuruhjaya polis Sabah, 4 tahun lepas.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan, 34, pada akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan. Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh. Wang jaminan RM2,500 dikembalikan kepada tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pemerasan bagi mendatangkan ketakutan terhadap Mohamad Azhan Hamza, 34, di Restoran Marakesh, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, pada 9.00 malam, 22 Mei 2014.

Tertuduh yang diwakili peguam S Preakas didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana 2 daripada seksaan itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memanggil tujuh saksi pada perbicaraan kes itu.

Pada 16 Ogos 2016, Sanjeevan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.