Pedalaman Sabah, Sarawak kunci Najib akan terus bertahan

Pedalaman Sabah, Sarawak kunci Najib akan terus bertahan

Undi dari kawasan kurang penduduk di pedalaman lebih berpengaruh daripada undi di kawasan bandar yang berpihak kepada pembangkang.

Free Malaysia Today
Gambar reuters
SAWAI:
Satu sebab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan besar akan menang pada pilihan raya umum (PRU) minggu depan boleh ditemui di kampung terpencil bernama Sawai yang tersepit antara ladang kelapa sawit yang luas dengan sebatang sungai di utara Sarawak.

Hanya segelintir penduduk di Sawai pernah mendengar nama 1MDB, apatah lagi mengenai skandal berbilion ringgit yang menyelubungi dana negara itu yang mengganggu perdana menteri sejak 2015 dan menyemarakkan penentangan terhadap usaha beliau untuk dipilih semula pada 9 Mei ini.

Akan tetapi semua penduduk Sawai tahu tentang pemberian tunai, subsidi nelayan dan pertanian, kotak-kotak air mineral dan jaket keselamatan untuk murid-murid yang menaiki bot ke sekolah – dan mereka tahu ia semua daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kami 100% Barisan,” kata penduduk, Usup Sirai. “Kerajaan banyak bantu kami. Kalau kami sokong orang lain, ia tidak akan bawa hasil sama seperti sokong kerajaan.”

BN kini menghadapi saingan paling sengit apabila dicabar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah membimbing Najib tetapi sekarang pengkritik utama beliau.

Namun begitu, kemungkinan Najib akan kalah tampak tipis, dan sebab utamanya ialah penduduk kampung seperti di Sawai ini yang setia mengundi BN.

Sawai terletak di Parlimen Igan yang dimenangi BN tanpa bertanding pada 2008 dan sekali lagi dengan 87% undi pada 2013.

Pembangkang tertinggal di belakang

Undi dari kawasan kurang penduduk seperti Sawai lebih berpengaruh daripada undi di kawasan bandar, di mana perasaan meluat dengan rasuah dan kos sara hidup memberi kelebihan kepada pembangkang.

Igan, dengan hanya 19,592 pengundi merupakan kawasan pilihan raya paling kecil di Malaysia dari segi saiz pengundi. Sebagai perbandingan, Parlimen Bangi sebuah kawasan bandar di Selangor yang dimenangi pembangkang, mempunyai 179,790 pengundi.

Dua pertiga kawasan pilihan raya di Sabah dan Sarawak merupakan kawasan luar bandar atau separuh bandar. Ini bermakna ia penting kepada BN bagi menjamin majoriti di Parlimen walaupun kalah undi popular, seperti yang berlaku pada 2013. Dua negeri ini mewakili 25% daripada kesemua 222 kerusi Parlimen.

Pengkritik menuduh Najib – serta Dr Mahathir sebelum itu – melakukan gerimander ke atas kawasan pilihan raya bagi memberi kelebihan kepada kerajaan. Mereka mengemukakan persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini sebagai bukti perbuatan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertegas ia sebuah badan bebas dan berkata cadangan peta sempadan kawasan pilihan raya Mac lepas tidak memberi kelebihan kepada BN. Kerajaan berkata tiada campur tangan politik.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To berkata, dakwaan pembangkang tentang “pilihan raya kotor”, taktik naungan dan gerimander di Sabah dan Sarawak sebahagian daripada “skrip berterusan mereka untuk mendapatkan undi simpati”.

Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 menetapkan perwakilan dari 2 negeri itu di Parlimen hendaklah menggambarkan saiz mereka dan Sabah serta Sarawak mewakili 60% daripada saiz keseluruhan Malaysia.

Berikutan itu, 9 daripada 10 kawasan Parlimen paling kecil di Malaysia dari segi saiz pengundi terletak di Sarawak.

“Kami suka Najib”

Pemimpin pembangkang Sarawak, Baru Bian, berkata sukar baginya memenangi hati pengundi di kawasan pedalaman, di mana beliau kadang-kadang terpaksa “mengajar” mereka tentang makna pilihan raya itu sendiri.

“Bagi sebahagian penduduk lebih tua, mereka lihat parti adalah kerajaan dan kerajaan adalah parti. Mereka percaya jika BN tidak ada, maka pembangunan juga tidak akan ada di kawasan mereka.”

Kegiatan pembangunan memang pesat. Dari dewan sembahyang ke jeti bot untuk pelajar ke sekolah dan panel letrik tenaga suria.

Kampung Nanga Singat misalnya, sebuah penempatan Igan tanpa bekalan elektrik yang terletak 90 minit perjalanan dengan bot dari pekan terdekat. 500 penduduk kampung itu, yang menginap dalam satu rumah panjang, menggunakan tangki penapis air yang disediakan oleh BN untuk menjadikan air sungai dan air hujan boleh diminum.

“Kalau kami undi pembangkang, mereka mungkin biarkan kami susah. Jadi kami ikut dan undi BN,” kata Francis Kiah Pengarah, ketua kampung itu selama lebih 40 tahun.

Penduduk di sekeliling beliau mengangguk dan akan menerima nasihat ketua kampung tentang calon yang patut dipilih.

Mereka tidak pula tahu Mahathir kini pemimpin pembangkang, tetapi menganggap beliau yang kini berusia 92 tahun sebagai terlalu tua.

Najib pula popular kerana memperkenalkan BR1M dan kerana melancarkan lebuh raya pesisir pantai yang apabila siap akan menghubungkan Sabah dengan Sarawak.

Penduduk di kampung Nanga Semah yang berdekatan berkata, baru-baru ini seorang pemimpin BN tempatan memberikan setiap rumah panjang RM1,500 sempena pesta menuai. Pada 2013, BN menyewa bot panjang untuk penduduk yang bekerja di bandar pulang mengundi, dan mereka yang menunjukkan jari bertanda dakwat sebagai bukti mengundi diberikan RM20 seorang.

Seorang penduduk wanita berusia 66 tahun yang memperkenalkan diri sebagai Gata, sambil menuding jari kepada gambar Najib yang tergantung, berkata, “kerana dia kami dapat BR1M. Kami suka dia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.